Isnin yang mewakili Ketua Menteri, menerima cenderamata daripada penganjur.
KOTA KINABALU: Kemajuan teknologi tidak seharusnya menyebabkan nilai kemanusiaan, keaslian karya dan identiti budaya diketepikan, sebaliknya hubungan antara seni dan teknologi perlu dibangunkan secara seimbang.
Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata perkembangan kecerdasan buatan (AI), media digital, teknologi audio visual dan platform komunikasi baharu membuka peluang luas kepada penggiat seni dan industri kreatif.
Beliau berkata kekuatan seni terletak pada keupayaannya menyentuh pemikiran dan perasaan manusia, manakala teknologi menyediakan ruang serta kaedah baharu untuk memperluas pengalaman dan penyampaian karya.
“Kita memerlukan generasi pengkarya yang bukan sahaja mahir menggunakan teknologi, tetapi turut mempunyai asas ilmu, daya pemikiran kritis, kreativiti dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial serta budaya,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Seni dan Teknologi Kreatif (PASTIK 2026) di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih.
Hajiji berkata Sabah kaya dengan kepelbagaian etnik, bahasa, adat resam, tradisi dan khazanah budaya yang menjadi kekuatan serta identiti negeri, yang perlu terus dipelihara, dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Katanya, usaha mendokumentasikan, mengkaji, mempersembahkan dan memperkenalkan khazanah seni budaya Sabah kepada masyarakat antarabangsa perlu dipergiatkan supaya warisan berkenaan terus hidup melalui pendidikan, penyelidikan, pengkaryaan dan inovasi.
Beliau berkata institusi pengajian tinggi seperti UMS mempunyai peranan penting bukan sahaja sebagai pusat penyebaran ilmu, malah sebagai pemangkin kepada perkembangan pemikiran kreatif, penyelidikan seni dan pemerkasaan budaya tempatan.
Menurutnya, industri kreatif mempunyai potensi besar sebagai salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi baharu, justeru Kerajaan Negeri komited menyokong pembangunan modal insan yang bukan sahaja celik teknologi, malah mempunyai daya kreativiti dan inovasi tinggi menerusi pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Hajiji berharap PASTIK 2026 menjadi ruang untuk membincangkan idea baharu, berkongsi hasil penyelidikan serta mengenal pasti peluang kerjasama yang mampu memberikan manfaat kepada pembangunan seni dan industri kreatif, khususnya di Sabah.
Beliau berkata persidangan antarabangsa seperti itu turut memperlihatkan kepentingan kerjasama antara institusi akademik, penyelidik dan pengamal industri kerana perkongsian ilmu serta pengalaman merentas sempadan mampu memperkaya perspektif dan membuka ruang penyelidikan yang lebih luas.
Beliau turut menyambut baik pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universitas Sebelas Maret dengan UMS yang membuka peluang untuk memperluas jaringan penyelidikan, pertukaran kepakaran, pembangunan program akademik dan penghasilan karya kreatif secara bersama.
Katanya, kerjasama itu diharap tidak terhenti pada pemeteraian dokumen semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada program dan tindakan yang memberikan impak nyata kepada kedua-dua institusi serta masyarakat.
Hajiji turut menekankan kepentingan memberikan ruang dan peluang kepada golongan muda untuk terlibat secara aktif dalam bidang seni dan teknologi kreatif sebagai pencipta, pengkarya, penyelidik serta usahawan industri kreatif.
Katanya, bakat golongan muda perlu dibimbing melalui pendidikan, latihan, pendedahan industri serta peluang menghasilkan karya berkualiti, selain melahirkan generasi yang berani meneroka idea baharu tanpa melupakan akar budaya dan nilai masyarakat sendiri.
Beliau berharap institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti seni terus berganding bahu membangunkan ekosistem seni dan industri kreatif yang lebih dinamik, mampan serta berdaya saing, sekali gus menggerakkan potensi Sabah sebagai salah satu pusat perkembangan seni, budaya dan kreativiti di rantau ini.




























