Abqaree Fawwaz Abekan
KOTA KINABALU: Majlis Belia Sabah (MBS) menzahirkan kebimbangan terhadap kehilangan empat remaja perempuan di kawasan Parlimen Sepanggar dalam tempoh 19 hari bermula Oktober lalu, yang disifatkan sebagai kejadian luar biasa dan membimbangkan.
Presidennya, Abqaree Fawwaz Abekan berkata kejadian itu menggambarkan risiko keselamatan yang dihadapi golongan muda hari ini, khususnya wanita dan mereka yang masih di bawah umur.
“Empat remaja perempuan hilang dalam tempoh 19 hari dalam satu kawasan Parlimen yang sama adalah suatu kejadian yang luar biasa.
“Kebimbangan MBS tertumpu kepada risiko keselamatan terhadap golongan belia ini yang kesemuanya masih berada di bawah umur.
“Kami berkongsi kesedihan dan keresahan dengan ibu bapa di luar sana, terutama ahli keluarga individu yang hilang ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, Selasa.
Sehubungan itu, Abqaree menyeru masyarakat, khususnya penduduk Sepanggar, supaya mengambil tanggungjawab secara kolektif dengan membantu pihak berkuasa mengesan keempat-empat remaja berkenaan.
Beliau berkata MBS turut akan membantu menyebarkan maklumat kehilangan mereka dalam kalangan ahlinya serta menyalurkan sebarang maklumat baharu kepada pihak berkuasa.
“Kami ingin menyeru semua anggota masyarakat khususnya di Sepanggar agar bertindak secara kolektif bagi membantu pihak berkuasa mengesan keempat-empat individu berkenaan.
“Kami juga akan turut memberi kerjasama dengan menghebahkan maklumat kehilangan individu-individu ini dalam kalangan anggota MBS, dan akan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat maklumat baharu yang diperoleh,” katanya.
Pada Selasa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Kota Kinabalu dalam satu kenyataan memaklumkan empat remaja perempuan berusia antara 14 hingga 17 tahun dilaporkan hilang dan masih dikesan.
Mereka ialah Lorna Palmani, 17; Olivia Jeffrey, 16; Farha Nabila Abdullah, 14; dan Nadyana Albaser, 16, yang kesemuanya menetap di kawasan Parlimen Sepanggar.
Mereka masing-masing dilaporkan hilang antara 22 Oktober hingga 9 November lalu.






























