Hajiji (duduk, tengah) bersama Zainudin Aman (duduk, tiga kiri), Mohd Fuad (duduk, tiga kanan), Noridah (duduk, dua kanan) serta pegawai kanan ECoS, SPRM dan IIM.
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam sektor kawal selia tenaga di Sabah.
Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata inisiatif itu selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk meningkatkan tadbir urus dan integriti dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Strategi Antirasuah Organisasi (OACS) ECoS 2026–2030 dan pertukaran MoU antara ECoS dengan IIM di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata MoU itu akan memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan, pembangunan keupayaan, latihan, kesedaran antirasuah dan pengurusan risiko rasuah.
Beliau berkata kerjasama itu turut memperkukuh mekanisme pencegahan rasuah dalam pelaksanaan fungsi kawal selia ECoS bagi memastikan sektor tenaga Sabah ditadbir secara telus dan berintegriti.
Menerusi MoU itu, ECoS dan IIM akan berkongsi kepakaran dalam aspek operasi, pencegahan dan pendidikan, manakala ECoS akan menerima bantuan dalam merealisasikan aspirasi Kerajaan mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Pegawai ECoS juga berpeluang menyertai pelbagai program latihan yang dianjurkan oleh Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), termasuk program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), yang bertujuan memperkukuh tadbir urus dalam agensi awam, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta.
Pada majlis itu, Hajiji bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman menyaksikan pertukaran MoU berkenaan antara Abdul Nasser dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IIM Datuk Seri Noridah Abdul Rahim.






























