KOTA KINABALU (Bernama): Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah menafikan maklumat tular berkaitan kejadian tanah runtuh akibat hujan berterusan yang didakwa menyebabkan penutupan dua laluan utama di Keningau.
Dalam kenyataan hari ini, jabatan itu memaklumkan dakwaan penutupan Jalan Keningau-Tenom di KM151.950 dan KM142.250 serta Jalan Keningau-Kimanis di KM14.300 adalah tidak benar.
“Maklumat tidak sahih berkenaan dikesan tular menerusi satu laman Facebook dengan menggunakan semula gambar kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 9 Mac 2025.
“Sehubungan dengan itu, orang awam dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kesahihannya bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan pengguna jalan raya,” menurut kenyataan itu.
JKR Sabah memaklumkan sebarang maklumat rasmi berkaitan keadaan jalan dan penutupan laluan perlu dirujuk terus kepada saluran rasmi jabatan itu. — BERNAMA































