Jamawi (empat dari kanan) bergambar kenangan dengan semua yang turut serta dalam pemantauan kilang sembelih dan memproses Daging Lembu syarikat JBS Goiania, Brazil.
KOTA KINABALU: Sabah sedang memperkukuh kerjasama dengan Brazil dalam sektor pertanian, penternakan dan bekalan makanan menerusi perbincangan dua hala antara Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) dengan Kementerian Pertanian dan Ternakan Brazil (MAPA).
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata perbincangan itu merangkumi potensi kerjasama membekalkan sumber protein seperti sayap dan paha ayam serta daging lembu bagi memenuhi keperluan pasaran Sabah.
Mesyuarat yang berlangsung di pejabat MAPA di Brasilia itu dipengerusikan Setiausaha Perdagangan dan Hubungan Antarabangsa MAPA Paulo Marcio Mendonca Araujo, bersama ketua-ketua bahagian kementerian berkenaan.
Beliau berkata kedua-dua pihak turut membincangkan peraturan sedia ada dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan, selain memperhalusi prosedur import dan eksport antara kedua-dua negara.
Kerjasama dalam sektor tanaman seperti guarana, kopi, koko dan jagung untuk makanan ternakan turut menjadi antara perkara yang dibincangkan.
Mengenai tanaman guarana, Jamawi berkata kedua-dua pihak bersetuju mengadakan perbincangan lanjut berikutan perkara itu tertakluk kepada perundangan yang sedang berkuat kuasa.
Bagaimanapun, katanya, Brazil secara prinsip bersetuju membenarkan tanaman itu diusahakan secara komersial di negara lain, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan.
Sementara itu, Jamawi berkata delegasi MAFFI turut melaksanakan audit dan pemantauan di kilang penyembelihan serta pemprosesan ayam milik syarikat JBS di Brasilia pada 18 November.
Katanya, audit berkenaan penting bagi memastikan aspek keterjaminan makanan, kebersihan serta pematuhan proses halal dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Beliau berkata Sabah merupakan antara pengimport produk ayam dari Brazil, khususnya sayap dan paha ayam, selain Thailand.
Audit itu disertai Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI Awang Dzulkarnain Awang Hassan, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah Dr Zul Bahar, Ketua Pegawai Eksekutif Rastamas Datuk Tahir Picho yang mewakili Persatuan Penternak Ayam Sabah serta pegawai DVS Sabah.
Pada 19 November, delegasi sama turut menjalankan audit dan pemantauan di kilang penyembelihan serta pemprosesan daging lembu milik JBS di Goiania, Brazil.
Jamawi berkata selain Australia dan New Zealand, Brazil juga merupakan antara negara pembekal utama daging lembu kepada Sabah, manakala daging kerbau diimport dari India.
Beliau berkata audit di kedua-dua fasiliti itu bertujuan memastikan standard keselamatan makanan, kebersihan dan pematuhan halal terus terjamin.
JBS merupakan antara pengeluar produk ayam dan daging lembu halal terbesar dunia, dengan operasi penyembelihan dan pemprosesan di seluruh Brazil.
Delegasi yang menjalankan audit di Goiania turut disertai Awang Dzulkarnain, Dr. Zul Bahar dan pegawai jabatan.































