LONDON (Bernama-Anadolu): Pihak berkuasa perlindungan data Itali mengenakan denda sebanyak €805 juta (US$900 juta) terhadap Meta kerana mengakses foto, video dan metadata berkaitan yang disimpan dalam peranti Android pengguna di Itali tanpa mendapatkan persetujuan khusus dan termaklum, lapor Anadolu Ajansi.
Pihak Berkuasa Perlindungan Data Itali mengesahkan pelanggaran itu membabitkan ciri Facebook “Get suggestions from gallery when browsing Facebook” yang diperkenalkan pada 2023, bagi mencadangkan foto dan video yang disimpan dalam telefon pintar pengguna untuk dikongsi di platform berkenaan.
Siasatan mendapati Facebook meminta satu kebenaran tunggal yang merangkumi pelbagai fungsi, didahului dengan amaran umum yang gagal memaklumkan pengguna dengan jelas bahawa galeri foto mereka juga boleh diakses.
Pihak berkuasa itu turut mendapati ciri berkenaan diaktifkan secara lalai, sekali gus berisiko membolehkan aplikasi mengakses keseluruhan arkib foto pengguna sebaik sahaja kebenaran diberikan.
Siasatan itu dimulakan pada Julai 2025 susulan aduan oleh Pusat Perlindungan Pengguna Bolzano dan turut merangkumi analisis teknikal terhadap aplikasi berkenaan.
Pihak pengawal selia berkata amalan itu melanggar Artikel 122 Kod Privasi Itali, yang melaksanakan Arahan ePrivacy Kesatuan Eropah (EU) dan melindungi maklumat yang disimpan dalam peranti pengguna.
Pihak berkuasa itu menegaskan bahawa akses kepada maklumat dalam telefon pintar memerlukan persetujuan yang diberikan secara bebas dan berdasarkan maklumat yang jelas, tanpa mengira sama ada data peribadi berkenaan kemudiannya dihantar atau kemudaratan dapat dibuktikan.
Pihak berkuasa itu turut menolak bantahan Meta berhubung bidang kuasa dengan menyatakan bahawa undang-undang ePrivacy tidak memperuntukkan mekanisme “satu pintu” EU.
Di bawah keputusan itu, Meta perlu memperkenalkan permintaan persetujuan yang berasingan, menjelaskan dengan terang tujuan ciri berkenaan dan memastikan ia kekal dinyahaktifkan secara lalai dalam tempoh 60 hari, termasuk bagi pengguna yang sebelum ini memberikan kebenaran.
Syarikat itu perlu melaporkan langkah awal yang diambil dalam tempoh 30 hari serta mengemukakan butiran langkah yang telah dilaksanakan dalam tempoh 90 hari.
Pihak berkuasa itu berkata kira-kira 20 juta pengguna Android di Itali berkemungkinan terjejas, dengan mengambil kira skala dan tempoh pelanggaran, tindakan terdahulu terhadap Meta pada 2019 serta kegagalan syarikat itu memberikan kerjasama.
Prosiding berkenaan tidak meneliti penggunaan kandungan galeri untuk latihan kecerdasan buatan (AI). Bagaimanapun, pihak berkuasa itu tidak menolak kemungkinan menjalankan siasatan berasingan terhadap ciri pemprosesan galeri berasaskan awan yang dilancarkan pada 2026. — BERNAMA-ANADOLU




























