KUALA LUMPUR (Bernama): Sebanyak 11 pencipta kandungan Malaysia termasuk Adam Shamil, Ikhmal Nour dan Pudds, akan mewakili negara ke Anugerah TikTok Asia Tenggara di Bali, Indonesia pada 27 Nov ini.
TikTok dalam kenyataan hari ini memaklumkan lebih daripada 5.3 juta undian dibuat sepanjang tempoh undian awam di seluruh negara dari 12 hingga 26 Okt lepas bagi memilih wakil Malaysia.
Adam Shamil (@iamadamshamil) akan bertanding bagi kategori Creator of the Year, manakala Ikhmal Nour (@ikhmaln0ur) dan Pudds (@deadpudds) masing-masing akan bersaing dalam kategori TikTok LIVE Creator of the Year dan Lifestyle Creator of the Year.
“Saya sangat berbesar hati dapat mewakili Malaysia di pentas serantau. Pengiktirafan ini sangat bermakna, bukan sahaja kepada saya, tetapi juga kepada pasukan dan komuniti yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.
“Sebagai pencipta kandungan dan pemilik perniagaan, saya mendapati bahawa kandungan bukan sahaja untuk berkongsi cerita, tetapi juga dapat berhubung dengan orang ramai, mengembangkan perniagaan dan mewujudkan peluang untuk orang lain. Sebagai anak jati Borneo, saya amat berbangga dapat membawa kisah dan kreativiti kami kepada khalayak serantau yang lebih luas,” kata Adam dalam kenyataan itu.
Wakil Malaysia yang lain ialah @nabilnazrol bagi kategori Rising Creator of the Year, @sir_asai (Education Creator of the Year), @amaranas_ (Sports Creator of the Year), @chesayang_kitchen (Food Creator of the Year) dan @leonsmeonss (Entertainment Creator of the Year).
Yang turut terpilih ialah @gigicheoh (Beauty & Fashion Creator of the Year), @moseswck (Popular Video of the Year) dan @sallywhoo (TikTok Shop Creator of the Year).
Pengurus Besar Operasi Kandungan TikTok bagi Asia Tenggara Angga Anugrah Putra berkata anugerah itu akan menghimpunkan pencipta kandungan dari enam negara, memberikan khalayak yang lebih luas dan lebih banyak peluang untuk membina perniagaan mereka.
“Tahniah kepada kesemua 11 pencipta kandungan tempatan kerana telah diundi sebagai Wakil Negara Malaysia. Sebagai ‘The Ones Who Spark It’, pencipta yang dipilih mencerminkan denyut nadi asli komuniti tempatan, mengubah minat kreatif kepada pertumbuhan ekonomi yang ketara dan impak sosial yang positif,” kata Angga.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Content Forum) Mediha Mahmood yang menghadiri sambutan gala permaidani merah berkata kandungan digital yang dihasilkan secara bertanggungjawab dapat membantu meningkatkan taraf hidup dan memberikan inspirasi kepada pencipta kandungan dan usahawan muda.
“Kandungan digital, apabila dicipta dengan bertanggungjawab dan niat yang baik, mempunyai potensi besar untuk memacu kemajuan sosial, meningkatkan taraf hidup dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi. Kami berbangga melihat bakat Malaysia yang luar biasa diraikan di pentas serantau,” katanya.
Menurut TikTok, kesemua finalis serantau akan dinilai oleh panel yang merangkumi wakil daripada Sekretariat ASEAN, WPP dan TikTok, dengan pemenang akan diumumkan pada peringkat akhir di Bali, 27 Nov ini. — BERNAMA






























