KUALA LUMPUR (Bernama): Sebanyak 211 syarikat telah dinyahaktifkan daripada Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) hingga 30 Okt, susulan ketidakpatuhan terhadap syarat pengedaran dan penjualan minyak masak paket bersubsidi.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan, sebanyak lapan kes kesalahan berkaitan larangan penjualan dan pembelian minyak masak peket bersubsidi oleh bukan warganegara turut direkodkan, hasil pelaksanaan Mobile eCOSS serta penguatkuasaan peraturan berkuat kuasa 1 Mac 2026.
KPDN dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berkaitan pelaksanaan eCOSS, dalam memastikan ketersediaan stok minyak masak peket bersubsidi dan mengurangkan ketirisan.
Menurut KPDN, pelaksanaan eCOSS sejak 2023 membolehkan pemantauan rantaian pengedaran, transaksi serta pengesahan identiti pengguna secara digital, melalui electronic Know Your Customer (eKYC) dan MyDigital ID, manakala Mekanisme Zoning Pengedaran Minyak Masak dan had pembelian tiga peket bagi setiap transaksi, turut dilaksanakan bagi memastikan bekalan mencukupi serta mengurangkan ketirisan.
“Dalam hal ini, bagi memastikan pendekatan pendigitalan tidak menjejaskan akses pengguna khususnya warga emas dan penduduk luar bandar, kementerian akan terus menambah baik dan mempermudah kaedah transaksi.
“Antara pendekatan yang sedang diambil ialah integrasi eCOSS dengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bagi membolehkan penggunaan kad pengenalan sebagai kaedah pengesahan semasa pembelian,” menurut kementerian itu.
KPDN turut memaklumkan keberkesanan dan kesesuaian mekanisme digital itu akan terus dinilai, sebelum sebarang peluasan kepada barangan bersubsidi lain dipertimbangkan, dengan mengambil kira keperluan membendung ketirisan serta memastikan kemudahan akses kepada pengguna.
Sementara itu, KPDN turut memaklumkan sebanyak 5,893 kes ketirisan dan penyelewengan bahan api diesel, petrol serta minyak masak direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari 2023 hingga 31 Oktober lepas, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM82.85 juta.
Daripada jumlah itu, sebanyak 2,763 kes melibatkan diesel dengan nilai rampasan RM59.67 juta, diikuti 1,722 kes petrol (RM5.43 juta) dan 1,408 kes minyak masak peket (RM17.74 juta).
KPDN memaklumkan penguatkuasaan akan terus diperkukuh menerusi pendekatan berasaskan risikan, penggunaan data, pemantauan rapi serta kerjasama strategik antara agensi termasuk melalui Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang berkuat kuasa 16 Mac lepas. — BERNAMA






























