KOTA KINABALU (Bernama): Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mengesahkan penampakan cahaya terang di ruang udara Sabah pada awal pagi Isnin lepas berpunca daripada operasi pelancaran roket milik China.
Dalam kenyataan hari ini, MYSA memaklumkan roket Long March 12 dilancarkan dari Hainan International Commercial Launch Center di Wenchang, Hainan, China tepat pada 4.24 pagi waktu tempatan.

Menurut kenyataan itu, Agensi Angkasa Filipina (PhilSA) turut mengenal pasti kebarangkalian serpihan objek daripada misi pelancaran tersebut jatuh dalam zon jatuhan di perairan kepulauan negara berkenaan.
“Zon jatuhan serpihan itu dianggarkan berada kira-kira 25 batu nautika dari Puerto Princesa, Palawan dan 19 batu nautika dari Tubbataha Reefs Natural Park iaitu dalam wilayah perairan Filipina,” menurut kenyataan itu.
Menurut MYSA, setakat ini tiada sebarang laporan rasmi diterima berhubung penemuan serpihan objek daripada pelancaran roket tersebut di dalam wilayah kedaulatan Malaysia.
Orang ramai diminta segera menghubungi Bahagian Penguasa Angkasa menerusi talian 03-8885 8685 atau e-mel ke bpadg@mosti.gov.my sekiranya menemui sebarang objek mencurigakan berkaitan pelancaran berkenaan. — BERNAMA






























