Dexter Lau
KOTA KINABALU: Gardenia Bakeries (East Malaysia) Sdn Bhd memberi jaminan bahawa keselamatan makanan, kebersihan dan kawalan kualiti sentiasa menjadi keutamaan dalam semua aspek operasinya.
Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) Datuk Dexter Lau berkata pihaknya mengambil maklum mengenai kenyataan dan isu yang sedang tular di media sosial berhubung produk Gardenia, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan rasmi Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd.
Beliau berkata Gardenia Bakeries (East Malaysia) Sdn Bhd dan Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd merupakan dua entiti perniagaan berasingan dengan pemilikan serta pengurusan yang berbeza.
“Walau bagaimanapun, kami ingin memberi jaminan kepada semua pengguna bahawa aspek keselamatan makanan, kebersihan, kawalan kualiti serta pematuhan terhadap piawaian dan peraturan yang ditetapkan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap aspek operasi kami.
“Kami sentiasa komited untuk memastikan setiap produk yang dihasilkan memenuhi standard keselamatan dan kualiti makanan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Beliau berkata pihaknya menghargai kepercayaan dan sokongan berterusan pengguna serta akan terus berusaha mengekalkan komitmen dalam menyediakan produk yang selamat dan berkualiti tinggi.




























