Suasana semasa pertandingan congkak dan karom.
PUTATAN: Kejohanan Sukan Jabatan dan Agensi Daerah Putatan menjadi wadah memupuk gaya hidup sihat serta mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan penjawat awam.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, penganjuran kejohanan sukan tersebut dapat menjadi sarana penting bagi memulihkan kesegaran fizikal dan mental warga perkhidmatan awam.
“Program seperti ini dapat menjadi tempat untuk membudayakan amalan gaya hidup sihat, selain menjadi platform terbaik untuk mengeratkan ukhuwah, silaturahim dan semangat berpasukan antara penjawat awam pelbagai agensi di seluruh Daerah Putatan.
“Hubungan kerjasama yang erat antara jabatan dan agensi juga mampu membantu memperkukuh koordinasi serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Apabila hubungan sesama agensi kukuh, koordinasi dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Daerah Putatan pastinya dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan berkesan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Sukan Jabatan dan Agensi Daerah Putatan sempena Hari Sukan Negara 2026 di Dewan KOMBES Putatan, pada Jumaat.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya.
Menurut Shahelmey, kejohanan itu turut menyediakan ruang kepada penjawat awam untuk menyertai pelbagai acara sukan mengikut minat dan kebolehan masing-masing.
“Penganjuran kejohanan ini turut mengetengahkan permainan tradisional seperti congkak dan karom sebagai usaha memelihara warisan budaya, selain mempelbagaikan aktiviti sukan yang melibatkan penyertaan warga kerja.
“Antara acara yang dipertandingkan ialah futsal, bola tampar, badminton, pingpong, karom, congkak dan pool yang memberi peluang kepada peserta untuk menunjukkan kebolehan, strategi serta semangat kesukanan masing-masing,” ujarnya.
Beliau berharap agar kejohanan seperti ini dapat diteruskan bagi menyemarakkan semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan penjawat awam.
Kejohanan yang berlangsung dari 12 hingga 30 Oktober itu disertai 19 jabatan dan agensi kerajaan.
Hadir sama, Pegawai Daerah, Masawi Salleh, wakil Majlis Daerah Putatan, Md Faidhi Md Arifin dan Pegawai Pembangunan Masyarakat Tanjung Keramat, Latip Jiar.






























