TENOM: Penganjuran Ilau Kalimaran Kali Ke-20 Tahun 2026 terus menjadi platform penting dalam usaha memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Murut, selain memperkukuh perpaduan serta merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi masyarakat setempat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong dan Presiden Persatuan Murut Sabah (PMS), Datuk Rubin Balang berkata sambutan itu bukan sekadar acara kebudayaan, sebaliknya wadah untuk memperkenalkan keunikan adat resam, kesenian dan warisan tradisi masyarakat Murut kepada generasi masa kini.
Beliau berkata penglibatan suku kaum Lundayeh dalam penganjuran bersama sejak 2025 turut memberikan dimensi baharu kepada sambutan berkenaan, sekali gus memperkukuh hubungan persaudaraan, persefahaman dan perpaduan antara etnik di Sabah.
Katanya, Ilau Kalimaran mempunyai sejarah panjang yang berakar daripada tradisi masyarakat Murut, yang dahulunya dikenali sebagai Injawari atau Panawari, sebelum melalui proses penjenamaan semula bagi menyesuaikan sambutan itu dengan aspirasi generasi masa kini.
“Warisan budaya masyarakat Murut mempunyai akar tradisi yang kukuh dan harus dipertahankan sebagai lambang identiti serta kebanggaan masyarakat Murut,” katanya dalam perutusan sempena Ilau Kalimaran Kali Ke-20 Tahun 2026.
Rubin berkata tema sambutan tahun ini, “Migogondo Jumalai Sumingkot” yang bermaksud “Bersatu Maju Membangun”, mencerminkan kepentingan semangat kebersamaan, kerjasama dan perpaduan dalam membentuk masyarakat yang progresif serta berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran Ilau Kalimaran juga berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan melalui keunikan budaya, kepelbagaian etnik dan kekayaan warisan tradisional yang mampu menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
Justeru, beliau menyeru semua pihak supaya terus memperkukuh usaha memelihara dan mempromosikan warisan budaya tempatan, sekali gus membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat, khususnya penggiat seni dan kraftangan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang menjayakan sambutan Ilau Kalimaran Kali Ke-20 Tahun 2026.






























