PUTRAJAYA (Bernama): Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penghakiman terus bagi tuntutan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjumlah RM15.32 juta terhadap MajuBina Resources Sdn Bhd berhubung kegagalan syarikat itu menyiapkan kerja-kerja Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah dalam tempoh ditetapkan.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah itu merupakan ganti rugi tertentu akibat kelewatan pelaksanaan kerja di bawah projek JENDELA 1, selain mahkamah turut memerintahkan syarikat berkenaan membayar kos RM5,000 kepada MCMC.
Menurut suruhanjaya berkenaan, tindakan undang-undang tersebut difailkan pada Februari lepas bagi menuntut bayaran ganti rugi susulan kelewatan pelaksanaan projek infrastruktur komunikasi tersebut yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
MCMC memaklumkan inisiatif projek JENDELA 1 itu bertujuan memperluas liputan dan akses kepada perkhidmatan komunikasi, khususnya di kawasan luar bandar dan kurang mendapat liputan.
“Keputusan mahkamah ini turut menegaskan kepentingan akauntabiliti dalam pelaksanaan projek infrastruktur komunikasi negara,” menurut kenyataan itu.
MCMC menegaskan setiap projek infrastruktur komunikasi yang dibiayai melalui dana USP perlu dilaksanakan mengikut obligasi kontrak dan tempoh yang telah dipersetujui.
“Pematuhan terhadap ketetapan ini penting bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar serta manfaat ketersambungan digital dapat dinikmati oleh rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan kurang mendapat liputan,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan akan terus memastikan dana USP dimanfaatkan secara bertanggungjawab bagi meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan komunikasi yang berkualiti. — BERNAMA






























