Jamawi (enam dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama mentor yang terlibat dengan Agro-Forum 2026.
KOTA KINABALU: Lebih 3,000 ketua isi rumah di luar bandar dan kawasan pedalaman Sabah telah mengusahakan Kebun Dapur di pekarangan rumah masing-masing menerusi inisiatif Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI).
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata perkembangan itu menunjukkan sambutan positif terhadap program berkenaan yang turut melahirkan usahawan kecil dalam kalangan peserta.
Beliau berkata selepas 10 bulan pelaksanaannya, ramai ibu dan ketua isi rumah bukan sahaja mengusahakan tanaman untuk kegunaan sendiri, malah mula menjual hasil tanaman kepada jiran sehingga permintaan semakin meningkat.
“Malahan, ada yang sudah mengusahakan tanaman di kawasan seluas beberapa ekar hasil daripada pengalaman pertama mereka menerusi program Kebun Dapur.
“Setakat ini, statistik yang saya terima daripada Jabatan Pertanian Sabah selaku penyelaras program menunjukkan lebih 3,000 ketua isi rumah di luar bandar dan kawasan pedalaman sudah mengusahakan Kebun Dapur di pekarangan rumah masing-masing,” katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Agro-Forum 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Jamawi berkata penyertaan 13 mentor Kebun Dapur dalam forum berkenaan turut memberi peluang kepada usahawan muda sektor pertanian untuk mengetengahkan produk masing-masing menerusi pameran dan jualan.
Katanya, usaha itu perlu diperluaskan supaya lebih ramai anak muda yang berjaya dalam bidang pertanian dapat diketengahkan, selain dibantu dari segi pemasaran dan peluang kerjasama.
Beliau berkata penyertaan kira-kira 13 negara dalam program Big Sabah Sale di SICC turut membuka ruang kepada mentor berkenaan untuk mengembangkan jaringan perniagaan dan kerjasama dengan peserta antarabangsa serta pengunjung.
“Kita bukan mahu setakat 13 mentor ini sahaja. Pada masa akan datang, kita mahu kalau boleh berpuluh-puluh atau beratus-ratus lagi usahawan yang berjaya dalam bidang pertanian dapat diketengahkan dan dibantu dari segi pemasaran,” katanya.
Sementara itu, Jamawi berkata inisiatif Kebun Dapur Sabah turut mendapat perhatian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang melancarkan program Kebun Kendiri di peringkat Persekutuan bulan lalu.
Menurutnya, konsep dan pelaksanaan program berkenaan hampir sama dengan inisiatif yang dilaksanakan di Sabah.
Katanya, program Kebun Dapur bukan sahaja membantu meningkatkan keterjaminan makanan, malah mengurangkan kebergantungan kepada makanan import serta meningkatkan kadar sara diri (SSL) bagi produk pertanian utama yang masih bergantung kepada bekalan luar negara.
Sementara itu, Calvin Chin Situ halia menyatakan bahawa program ini adalah anjuran bersama dengan SICC yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Rosmawati bersama dengan mentor-mentor mempromosi Kebun Dapur ke seluruh Sabah, dan Malaysia.
Hadir sama ialah Pengurus Besar Lembaga Padi dan Beras Sabah, Datuk Dr Ts Ramle Hj Kasin.






























