Ewon Benedick
KOTA KINABALU: Pewartaan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar bagi membolehkan operasi 24 jam masih menunggu kelulusan Kementerian Kewangan Malaysia, kata Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata Kerajaan Sabah bersetuju melaksanakan 10 pelan tindakan sementara bagi menangani kesesakan pelabuhan berikutan keterbatasan kawasan penyimpanan kontena sedia ada.
Beliau berkata beliau mempengerusikan satu pasukan petugas yang dianggotai pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, persatuan mewakili pengguna pelabuhan serta syarikat konsesi dan pengendali pelabuhan bagi memantau dan menyelaras pelaksanaan pelan tindakan berkenaan.
“Antara 10 pelan tindakan yang dipersetujui Kabinet Kerajaan Sabah ialah penyelarasan pelaksanaan waktu operasi 24 jam oleh agensi kerajaan yang terlibat dalam proses pelepasan kontena,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa ini, operasi 24 jam dilaksanakan menerusi pengaturan kerja lebih masa (OT) oleh agensi kerajaan berkaitan, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), berdasarkan permohonan pengguna pelabuhan.
Projek pembesaran pelabuhan itu kini mempunyai lanjutan masa (EOT) sehingga Oktober 2027.
Sementara itu, Ewon berkata insiden kemalangan yang mengakibatkan kehilangan nyawa ketika pemunggahan kontena di Jalan Pelabuhan Sepanggar turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Kerajaan Sabah dua hari lalu.
Susulan kejadian itu, beliau akan mengadakan perbincangan khas dengan agensi penguatkuasaan, termasuk Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Perbincangan itu bertujuan memastikan pematuhan terhadap larangan meletakkan treler kontena di bahu jalan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan sepanjang Jalan Pelabuhan Sepanggar.
Ewon berkata penyediaan kawasan parkir transit untuk treler kontena oleh KKIP juga merupakan antara 10 pelan tindakan yang dipantau pasukan petugas berkenaan.
“Kawasan parkir transit treler ini sudah dibuka dan mula digunakan oleh syarikat perkhidmatan treler kontena.
“Justeru, saya menggesa semua syarikat perkhidmatan treler kontena menggunakan kemudahan ini dan tidak lagi meletakkan treler mereka di bahu jalan,” katanya.
Beliau berkata Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan akan terus menerajui pemantauan isu berkaitan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar serta menyelaras pelaksanaan pelan tindakan yang bersesuaian.
































