Hajiji mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu keselamatan sempadan maritim negeri, khususnya di Kudat yang meliputi perairan sekitar Pulau Banggi dan Pulau Balambangan, diperkukuh susulan perkembangan aktiviti ketenteraan di kawasan berhampiran.
Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata perkembangan itu memerlukan semua pihak sentiasa berwaspada terhadap perubahan persekitaran strategik bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Beliau berkata Kerajaan Negeri menyambut baik penekanan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap usaha memperkukuh keselamatan sempadan, termasuk rancangan memperoleh sistem radar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan kamera jarak jauh untuk Kudat pada 2028.
“Saya juga telah membincangkan perkara ini secara peribadi dengan Perdana Menteri mengenai keperluan menambah anggota keselamatan di perairan Kudat dan beliau memberikan maklum balas yang baik.
“Selaras dengan keutamaan keselamatan dan pertahanan yang digariskan di bawah Belanjawan 2027, Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik pembentangan Perdana Menteri yang menekankan usaha memperkukuh keselamatan sempadan.
“Keselamatan merupakan tonggak asas yang menjamin kestabilan negara, pembangunan ekonomi yang berterusan dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Sementara itu, Hajiji meminta agensi berkaitan meningkatkan pemantauan terhadap jerebu rentas sempadan yang ketika ini menjejaskan beberapa kawasan di Sabah, khususnya kawasan berhampiran sempadan Indonesia.
Beliau berkata keadaan itu boleh menjejaskan kesihatan awam, aktiviti ekonomi dan kelancaran operasi keselamatan sekiranya tidak dipantau dan ditangani dengan berkesan.
“Situasi semasa memerlukan pemantauan berterusan, khususnya di kawasan yang terletak berhampiran sempadan Indonesia.
“Oleh itu, saya menggesa agensi berkaitan supaya terus menyelaraskan perkongsian maklumat mengenai kualiti udara dan amaran cuaca, di samping memantau perkembangan situasi jerebu serta menilai kesannya terhadap kehidupan harian dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji turut mengingatkan agensi keselamatan supaya sentiasa berwaspada terhadap perkembangan sosiopolitik global dan serantau yang semakin dinamik serta kemungkinan implikasinya terhadap ketenteraman awam di Sabah.
Beliau merujuk kepada ketidakpuasan hati orang ramai dan ketegangan politik di Perancis, serta protes di Indonesia berhubung pengendalian isu berkaitan jerebu yang telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat.
Katanya, perkembangan itu perlu dijadikan peringatan bahawa isu berkaitan kebajikan rakyat dan kepimpinan kerajaan boleh mempengaruhi sentimen masyarakat serta kestabilan sosial.
Beliau meminta agensi berkaitan supaya terus memantau perkembangan semasa, termasuk penyebaran maklumat dan sentimen di media sosial, bagi mengenal pasti sebarang isu yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian sosial di Sabah.






























