Joniston (lima dari kanan) menerima borang permohonan keahlian PBS daripada Juanson (kiri) dan Suali (empat dari kiri) serta yang lain.
KIULU: Kemasukan ahli baharu ke dalam Parti Bersatu Sabah (PBS) mencerminkan kerelevanan berterusan parti itu dalam politik Sabah serta peranannya sebagai platform bagi mereka yang mahu terus aktif dalam politik dan menyumbang kepada masa depan negeri, kata Timbalan Presidennya Datuk Joniston Bangkuai.
“Kita percaya mereka yang mahu menyumbang kepada Sabah harus diberi peluang berbuat demikian melalui platform yang berkongsi komitmen mereka terhadap negeri dan rakyatnya.
“Kita mengalu-alukan mereka yang mempunyai komitmen sama dan berharap ahli baharu ini akan berkembang bersama parti, menyumbangkan idea serta bekerjasama dengan ahli lain ke arah mencapai matlamat bersama,” katanya ketika menerima kira-kira 50 borang permohonan keahlian PBS di Kampung Nulu pada Jumaat.
Antara yang memohon menyertai PBS ialah Ketua Pemuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Kiulu Juanson Moidin dan bekas Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kiulu Suali Sikir.
Mengulas landskap politik negeri, Joniston yang juga Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa perpaduan dalam kalangan rakan gabungan penting bagi mengekalkan kestabilan politik dan menyokong pentadbiran yang berkesan.
“GRS menyatukan parti-parti komponennya di bawah satu kerangka bersama untuk mentadbir Sabah.
“Kestabilan politik di bawah Kerajaan pimpinan GRS amat penting bagi memastikan pentadbiran dapat memberikan tumpuan kepada keutamaannya dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Justeru, kita mesti bekerjasama sebagai rakan gabungan, menghormati peranan masing-masing dan terus memberikan tumpuan kepada kepentingan negeri serta rakyatnya,” katanya.
Joniston berkata pengalaman PBS bekerjasama dengan parti-parti politik lain selama ini, termasuk sebelum pembentukan GRS, menjadi asas kukuh bagi meneruskan kerjasama dalam gabungan itu.
Beliau berkata PBS akan memanfaatkan pengalaman berkenaan untuk memupuk hubungan yang matang dan membina dalam kalangan rakan gabungan, di samping terus memainkan peranan dalam menyokong kerajaan pimpinan GRS dan pembangunan Sabah.
































