PUTRAJAYA (Bernama): Semua institusi pendidikan termasuk sekolah dan taman asuhan kanak-kanak (taska) hendaklah ditutup sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 200, susulan kejadian jerebu berpanjangan di beberapa kawasan, demikian menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
KKM berkata semua aktiviti luar bangunan dan perhimpunan awam juga hendaklah dihentikan, apabila bacaan IPU mencapai tahap sangat tidak sihat sehingga berbahaya.
“KKM menyeru semua pihak agar memastikan arahan ini dipatuhi. Kesihatan rakyat ialah keutamaan bersama dan pematuhan terhadap arahan ini, hendaklah dilaksanakan secara serius, konsisten serta bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
KKM juga menggesa orang ramai agar mengurangkan aktiviti fizikal di luar bangunan dan aktiviti kokurikulum, selain aktiviti fizikal di luar bangunan di institusi pendidikan, taska dan pusat jagaan warga emas hendaklah juga dihentikan sekiranya bacaan IPU pada tahap 101-200.
“Majikan perlu menyediakan pelitup muka N95 kepada pekerja yang bekerja di luar bangunan. Orang awam digalakkan menggunakan pelitup muka N95 ketika berada di luar bangunan,” menurut kenyataan itu.
KKM menegaskan bahawa semua agensi kerajaan, sektor swasta, majikan, institusi pendidikan dan pengendali premis berkaitan, hendaklah mematuhi sepenuhnya arahan berkenaan.
“Jerebu masih merupakan ancaman kesihatan awam yang perlu diberi perhatian serius. Pendedahan berterusan kepada udara tercemar boleh menjejaskan kesihatan, khususnya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang menghidap penyakit pernafasan dan jantung,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan dengan itu, KKM menyeru semua pihak mengambil langkah pencegahan dan mematuhi arahan pihak berkuasa berdasarkan bacaan IPU, bagi melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat. — BERNAMA
































