Robert menyerahkan borang permohonan menyertai Gagasan Rakyat kepada Azman.
KENINGAU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik hari ini menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sekali gus memperkukuh lagi kekuatan parti itu di Parlimen Keningau.
Robert menyerahkan borang keahlian kepada Ketua Bahagian Gagasan Rakyat P.180 Keningau, Datuk Azman Haji Ruslan ketika kunjungan beliau ke kediaman Robert di Kampung Antolob, Bingkor, pagi ini.
Robert yang pernah menjadi ADUN N.40 Bingkor, Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, mempunyai pengalaman luas dalam politik serta pentadbiran negeri.
Azman menyifatkan penyertaan itu sebagai perkembangan positif yang mampu memperkukuh keluarga besar Gagasan Rakyat di kawasan Parlimen Keningau.
Katanya, pengalaman dan pandangan Robert adalah aset yang boleh dimanfaatkan bersama, khususnya dalam usaha memperjuangkan pembangunan serta kepentingan rakyat di Keningau.
“Kita mengalu-alukan penyertaan Datuk Robert Tawik ke dalam keluarga besar Gagasan Rakyat. Pengalaman dan pandangan beliau amat bernilai dan saya percaya penyertaan ini akan memperkukuh lagi kerjasama serta usaha kita untuk membawa pembangunan yang lebih baik kepada rakyat Keningau,” katanya.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai hala tuju pembangunan Parlimen Keningau, termasuk keperluan memperkukuh infrastruktur, ekonomi setempat dan kesejahteraan masyarakat.
Azman berkata, perbezaan latar belakang politik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk bersama-sama memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
“Apa yang lebih penting sekarang ialah kita melihat ke hadapan. Kita mahu semua pihak yang mempunyai pengalaman, kemampuan dan kesediaan untuk berkhidmat dapat berganding bahu demi kepentingan rakyat dan masa depan Keningau,” katanya.
Sementara itu, Robert menyatakan kesediaannya untuk menyumbang pengalaman dan tenaga dalam memperkukuh usaha pembangunan serta kebajikan rakyat di kawasan Keningau.































