KULIM (Bernama): Tindakan dua murid perempuan yang mendakwa rakan mereka keluar dari sekolah tanpa kebenaran dan menaiki motosikal bersama-sama seorang lelaki di sini hari ini, mencetuskan kebimbangan pihak sekolah yang kemudiannya membuat laporan polis berkenaan orang hilang (OH).
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Syamsul Sinring berkata siasatan bagaimanapun mendapati murid didakwa hilang yang berusia 11 tahun itu sebenarnya tidak pernah meninggalkan kawasan sekolah, sebaliknya hanya bersembunyi di dalam tandas.
“Murid terbabit (OH) hadir ke sekolah pada 7.20 pagi selepas dihantar oleh kakaknya dan mengikuti perhimpunan sekolah pada 8 pagi. Semasa perhimpunan, murid terbabit bermain dengan sanggul rakannya menyebabkan rakan itu bertindak menarik tudungnya sehingga anak tudung terjatuh.
“Murid terbabit yang marah dengan perbuatan rakannya telah pergi ke tandas untuk membetulkan tudung dan terus bersembunyi di situ tanpa masuk ke kelas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Syamsul berkata dua murid lain kemudiannya memaklumkan kepada guru bahawa OH keluar dari kawasan sekolah bersama dengan seorang lelaki tidak dikenali dengan menaiki motosikal pada 8.20 pagi.
“Namun, murid tersebut kemudiannya mengaku telah mereka cerita itu kerana sakit hati terhadap OH. Maklumat bahawa OH keluar bersama-sama seorang lelaki juga tidak benar,” katanya. — BERNAMA






























