KUALA LUMPUR (Bernama): Ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 5.1 peratus pada tahun ini dan 4.7 peratus pada 2027, dengan sebahagian besarnya dipacu oleh permintaan luar hasil daripada pelaburan dan eksport berkaitan kecerdasan buatan (AI), demikian menurut Bank Dunia.
Ketua ahli ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia Apurva Sanghi berkata semakan tersebut adalah 0.7 peratus lebih tinggi berbanding unjuran pada bulan April sebelumnya dan mengatasi kadar pertumbuhan serantau sebanyak 4.5 peratus.
“Malaysia mencatatkan pertumbuhan eksport dipacu AI yang paling kukuh di rantau ini, dengan lebih 70 peratus daripada keseluruhan pertumbuhan eksport negara pada awal 2026 disumbang oleh peningkatan permintaan terhadap produk berkaitan AI.
“Jadi, Malaysia benar-benar memanfaatkan momentum perkembangan AI,” katanya semasa taklimat media mengenai Laporan Kemas Kini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAP) bagi Oktober 2026, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, walaupun perkembangan itu kelihatan baik, namun pertumbuhan sektor selain barangan berkaitan AI adalah lemah, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai pergantungan ekonomi terhadap sektor AI.
“Sebarang keadaan pelaburan AI global yang perlahan boleh memberi impak ketara kepada Malaysia,” katanya.
Apurva berkata sebarang perubahan dalam lonjakan AI global merupakan risiko utama terhadap prospek ekonomi Malaysia, sambil menambah usaha merealisasikan sepenuhnya potensi teknologi tersebut akan memerlukan penerimagunaan yang lebih pantas serta penyebaran lebih meluas.
“Malaysia masih ketinggalan dalam usaha melengkapkan penduduknya dengan kemahiran asas yang kukuh, seperti yang diketengahkan dalam laporan Pemantau Ekonomi Malaysia sebelum ini dan kajian-kajian lain,” katanya.
Beliau berkata perubahan mendadak boleh memberi kesan kepada Malaysia melalui dua keadaan: saluran kewangan, yang mana penilaian semula aset AI boleh mencetuskan aliran keluar modal dari pasaran sedang pesat membangun; dan menerusi ekonomi sebenar, yang disebabkan oleh kelembapan perdagangan global, terutamanya memandangkan hubungan kukuh Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Perubahan harga aset berkaitan AI boleh mencetuskan pengelakan penerimaan risiko di peringkat global serta keadaan kewangan terhad yang berpotensi membawa kepada aliran keluar modal dari pasaran sedang pesat membangun, termasuk Malaysia.
“Keadaan kedua adalah melalui ekonomi sebenar, khususnya kelembapan dalam perdagangan. Jika AS mencatatkan pertumbuhan perlahan, ia memberi kesan kepada pertumbuhan Malaysia.
“Malah, dalam analisis sebelum ini, kami menunjukkan bahawa kelembapan sebanyak satu mata peratusan dalam pertumbuhan AS mengurangkan pertumbuhan Malaysia sebanyak 0.8 mata peratusan,” katanya.
Sementara itu, ketua ekonomi Bank Dunia bagi Asia, Franziska Ohnsorge, berkata pertumbuhan rantau EAP diunjurkan sederhana kepada 4.5 peratus pada 2026-2027, iaitu 0.3 mata peratusan lebih tinggi berbanding unjuran enam bulan lepas.
Beberapa negara di rantau ini, termasuk China, Malaysia, Filipina, Thailand, dan Vietnam, meraih manfaat yang ketara daripada peranan mereka dalam rantaian nilai bagi barangan yang berkaitan dengan AI.
“Namun, di negara-negara lain di rantau ini, harga tenaga yang tinggi menjejaskan prospek pertumbuhan. Pengaruh AI terhadap industri di rantau ini sememangnya sangat besar.
“AI telahpun mengubah landskap permintaan tenaga kerja, dengan syarikat semakin giat mencari pekerja yang memiliki kemahiran berkaitan AI serta kemahiran pelengkap, khususnya dalam bidang seperti matematik, komunikasi dan kerjasama,” katanya.
Ohnsorge berkata sektor elektronik Asia Timur merupakan peserta utama dalam rantaian nilai berkaitan AI dan hal ini membantu menyokong pertumbuhan walaupun sekiranya kos tenaga merencatkan sektor lain.
Beliau berkata produk berkaitan AI menyumbang lebih daripada separuh pertumbuhan eksport di beberapa negara Asia Timur dan lebih daripada 70 peratus pertumbuhan eksport di Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam.
Pada masa sama, beliau berkata harga tenaga yang tinggi terus menjejaskan prospek pertumbuhan dan menyumbang kepada inflasi yang lebih tinggi di seluruh rantau ini pada 2026, dengan tekanan harga dijangka kekal tinggi sehingga 2027.
Pada masa depan, katanya, risiko terhadap prospek pertumbuhan termasuk kemungkinan aktiviti perlahan berkaitan AI di peringkat global, harga tenaga yang kekal tinggi serta kemusnahan teruk akibat fenomena El Nino, khususnya terhadap pengeluaran pertanian. — BERNAMA






























