Dr. Mohd Lan (tengah) bersama dengan sebahagian peserta.
KOTA KINABALU: Sabah Creative X 2026 menerusi SCENIC Innovation District Competition (SIDC) berjaya menghimpunkan seramai 507 peserta daripada 178 pasukan dari lima zon di seluruh Sabah, iaitu Tawau, Kota Marudu, Sandakan, Keningau dan Kota Kinabalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), Dr. Mohd. Lan Muslim berkata, pertandingan berkenaan menjadi platform kepada bakat tempatan untuk mengembangkan idea kreatif dan inovatif kepada penyelesaian yang mampu menangani keperluan serta cabaran sebenar masyarakat.
“SCENIC Innovation District Competition bukan sekadar pertandingan, tetapi satu untuk memperkasa bakat tempatan, menghubungkan idea dengan peluang serta mendorong inovasi yang mempunyai impak kepada komuniti. Penyertaan dari pelbagai zon menunjukkan potensi besar yang dimiliki bakat tempatan rakyat Sabah dalam menghasilkan idea dan penyelesaian inovatif,” katanya.
Inisiatif anjuran Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) menerusi SCENIC itu turut mendapat kerjasama strategik Perpustakaan Negeri Sabah dan Majlis Perbandaran Sandakan.
Pertandingan berkenaan memberi ruang kepada peserta untuk mengubah idea kepada penyelesaian inovatif yang bersifat praktikal, khususnya dalam menangani isu dan keperluan komuniti setempat, di samping memperkukuh ekosistem kreativiti dan inovasi di Sabah.
Menurut SCENIC, pendekatan tersebut selaras dengan peranannya sebagai inisiatif strategik Kerajaan Negeri Sabah dalam mempercepatkan pembangunan industri melalui teknologi, inovasi, kreativiti serta kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Grand Finale dan pengumuman pemenang SIDC akan berlangsung pada 28 Oktober 2026, bersempena Sabah Innovation Showcase (SIS) 2026.
Acara berkenaan dijangka menjadi kemuncak kepada perjalanan Sabah Creative X 2026, selain meraikan potensi inovasi, kreativiti dan bakat tempatan dalam menghasilkan idea yang mampu memberi manfaat serta impak kepada masyarakat dan pembangunan Sabah.






























