NAGOYA (Bernama): Jaguh skuasy negara Ng Eain Yow mendedikasikan kejayaan mempertahankan pingat emas perseorangan lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 hari ini kepada ibunya yang sedang melawan penyakit leukemia.
Eain Yow, 28, berkata ibunya Low Soo Goon antara sumber kekuatan baginya untuk terus memberikan yang terbaik setiap kali turun ke gelanggang selain menjadi pendorong utama untuk dirinya mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi Hangzhou 2022.
“Kemenangan ini sangat bermakna buat saya. Ibu saya sudah melawan leukemia selama kira-kira dua tahun dan saya mahu mendedikasikan kemenangan ini kepada beliau,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Eain Yow berkata kejayaan meraih emas yang turut mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) bukan hanya untuk dirinya, malah sebagai penghargaan kepada barisan pemain terdahulu yang membuka jalan buat pemain generasi kini.
“Ini bukan hanya untuk saya, ia juga untuk senior saya. Ketika saya masih muda dan bercita-cita menjadi pemain skuasy, saya memandang tinggi kepada semua senior dan pencapaian mereka. Jadi, saya mahu membalas jasa mereka dengan cara tersendiri,” katanya.
Walaupun tiket Olimpik sudah berada dalam genggaman, Eain Yow enggan menjadikan kelayakan itu sebagai kemuncak sasarannya, sebaliknya mahu menggunakan tempoh kurang dua tahun akan datang untuk mengejar impian lebih besar.
“Matlamat utama saya untuk menjadi pemain terbaik dunia.
“Sudah tentu memenangi kejohanan ini dan mendapatkan tiket (ke Olimpik) sesuatu yang baik, tetapi saya juga yakin dalam tempoh dua tahun, saya bersedia untuk menjadi pemain terbaik dunia. Itu sasaran yang sedang saya usahakan,” katanya.
Terdahulu, Ng Eain Yow bergelar atlet Malaysia pertama meraih tiket awal ke LA28 selepas menewaskan wakil India Abhay Singh di Nagoya Kinjofuto Arena hari ini.
Ratu skuasy negara S. Sivasangari pula menjadi atlet Malaysia kedua mengesahkan slot ke Olimpik LA28 selepas meraih emas perseorangan wanita di Aichi-Nagoya. — BERNAMA































