KOTA KINABALU: Empat lelaki maut selepas Perodua Viva yang dinaiki mereka terbabas dan terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Jalan Sepanggar, berhampiran Taman Jaya Diri, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kejadian berlaku sekitar jam 2.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati Perodua Viva yang dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun bersama tiga penumpang lelaki dari arah Sepanggar menuju ke Indah Permai dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar sebuah lori Isuzu NPR serta sebuah Perodua Aruz.
“Akibat pelanggaran itu, lori berkenaan terdorong ke hadapan lalu menghimpit sebuah van Nissan Urvan sebelum van tersebut melanggar sebuah Proton X50,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keempat-empat mangsa, termasuk pemandu berusia 23 tahun dan tiga penumpang lain berusia lingkungan 20-an, tersepit di dalam Perodua Viva.
“Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan kesemuanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Likas,” katanya.
Menurutnya, mayat semua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.37 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu tiba di lokasi pada jam 2.59 pagi.
Menurut beliau, kemalangan itu melibatkan Perodua Viva yang terbabas sendiri sebelum melanggar sebuah lori lima tan yang diletakkan di bahu jalan, dengan empat mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan.
Pasukan bomba menggunakan peralatan khas menyelamat bagi mengeluarkan semua mangsa.
Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 3.50 pagi dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 3.55 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi.
Seramai sembilan anggota bomba terbabit dalam operasi itu, terdiri daripada enam anggota BBP Kota Kinabalu dan tiga anggota BBP Lintas, menggunakan sebuah CFRT dan sebuah EMRS.
Operasi diketuai PBK I Judi Trisna, manakala agensi lain yang hadir ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan dua anggota, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiga anggota dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tujuh anggota.
JBPM mengenal pasti tiga mangsa masing-masing berusia 23, 24 dan 21 tahun, semuanya lelaki, manakala umur mangsa keempat belum diperoleh.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Royston di talian 016-3130153 atau mana-mana balai polis berhampiran.
































