Mansur (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan Rakan Muda Idol, Esther Christ Albert.
PUTATAN: Fiesta Rakan Muda menjadi platform bagi golongan muda meneroka minat, menyerlahkan bakat dan mengembangkan potensi diri.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Dr. Anil Sandhu berkata, pendekatan berkenaan membuka ruang lebih luas kepada golongan belia untuk melibatkan diri dalam pelbagai bidang.
“Melalui pendekatan 10 gaya hidup Rakan Muda, iaitu Rakan Aktif, Rakan Bumi, Rakan Demokrasi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Litar, Rakan Mahir, Rakan Muzik, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin, golongan belia diberikan ruang yang lebih luas untuk meneroka minat dan potensi masing-masing.
“Fiesta ini juga membawa penyertaan untuk semua tanpa mengira latar belakang, minat mahupun kebolehan, dengan setiap anak muda mempunyai ruang untuk mencuba, berkarya, berinteraksi dan membina keyakinan diri.
“Lebih menarik, Fiesta ini bukan sekadar tempat untuk kita datang dan melihat. Ia adalah ruang untuk anak muda turun padang, mencuba sendiri, berkongsi idea dan menunjukkan bakat,” katanya ketika merasmikan Program Fiesta Rakan Muda Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Kompleks Belia dan Sukan (P) Sabah, Putatan, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Mansur Asun.
Menurutnya, pelbagai pengisian disediakan seperti pertandingan seni doodle, aktiviti sukan dan kecergasan, seni kreatif, digital, muzik, kemahiran, keusahawanan, kesukarelawanan serta aktiviti kelestarian alam sekitar.
“Mungkin hari ini anda sekadar mencuba satu aktiviti, tetapi daripada percubaan kecil itulah mungkin lahir satu minat, kemahiran, kerjaya ataupun kejayaan besar pada masa hadapan.
“Kita mahu generasi muda bukan sahaja menjadi peserta dalam pembangunan negara, tetapi turut menjadi pencetus idea, pencipta peluang dan pemimpin masa hadapan,” ujarnya.
Beliau turut berharap program berkenaan terus menjadi medan yang menyatukan belia, komuniti, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan sektor swasta dalam membentuk ekosistem pembangunan belia yang lebih progresif, inklusif dan berdaya saing.
Program dua hari bermula Jumaat itu dihadiri kira-kira 1,200 golongan belia yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah, pelajar institusi pengajian tinggi, kelab Rakan Muda dari Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Papar.
Hadir sama, wakil Pesuruhjaya Polis Sabah, SAC Lim San Aik dan Timbalan Pengarah, Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah, Noorman Ramlan.
































