TOKYO (Bernama-Xinhua): Taufan kuat dijangka menghampiri kawasan pesisir Pasifik di timur Jepun termasuk Tokyo, antara Isnin dan Selasa, sekali gus mencetuskan amaran hujan lebat serta angin kencang, menurut media tempatan pada Ahad, lapor Xinhua.
Taufan Dujuan, taufan ke-25 tahun ini, bergerak ke barat laut di perairan selatan Jepun pada kelajuan 10 kilometer sejam (km/j), setakat 9 pagi waktu tempatan Ahad, lapor penyiar awam NHK yang memetik Agensi Meteorologi Jepun.
Taufan itu membawa angin dengan kelajuan maksimum 126 km/j berhampiran pusatnya, manakala tiupan angin maksimum mencecah 180 km/j.
Dujuan berkemungkinan melanda Semenanjung Boso di wilayah Chiba, timur Tokyo, pada Isnin.
Taufan itu dijangka membawa hujan lebat, angin kencang dan ombak tinggi, serta meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah.
Ketibaan taufan berkenaan pula bertepatan dengan tempoh cuti lima hari di Jepun.
Penduduk digesa memantau perkembangan cuaca terkini dan mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mempertimbangkan untuk menjadualkan semula perjalanan atau aktiviti susulan cuaca buruk.
Penduduk di kawasan bandar turut dinasihatkan berwaspada terhadap kemungkinan banjir di jalan raya dan kemudahan bawah tanah. — BERNAMA-XINHUA
































