Masiung Banah
KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah mengingatkan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari supaya tidak mencampuri urusan politik Sabah dan Sarawak susulan cadangan penambahan nisbah kerusi Parlimen di kedua-dua wilayah itu.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, pemimpin PAS itu cuba meniupkan politik permusuhan antara dua wilayah Borneo itu dengan kerajaan Persekutuan.
“Kami mempunyai hak ke atas tuntutan nisbah kerusi Parlimen kerana ia memang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang tertulis dalam lipatan sejarah ketika pembentukan Malaysia.
“Tidak timbul siapa Perdana Menteri mengumumkan penambahan nisbah kerusi melibatkan pindaan Perlembagaan itu kerana blok Borneo sudah sekian lama menuntut hak tersebut menerusi MA63,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Masiung berkata, parti politik di Sabah termasuk pembangkang menghormati semua parti politik yang bertapak di Semenanjung termasuk PAS, namun tindakan pemimpin parti itu mencampuri urusan politik Borneo tidak boleh diterima.
Menerusi kenyataan Ketua Penerangan PAS itu pada Isnin, Ahmad Fadhli didakwa memperkecilkan pemimpin wilayah Sabah dan Sarawak dengan ayat “jangan jatuh gaung bersama Anwar”.
Sehubungan itu, Masiung yang juga ADUN Kuamut menegur Ahli Parlimen Pasir Mas itu supaya menjaga integriti partinya dan tidak bertindak menghulurkan ‘tangan ghaib’ sebagai penghasut dalam urusan politik Borneo.
Menurutnya, pemimpin Sabah dan Sarawak matang dalam membuat keputusan sendiri tanpa memerlukan campur tangan orang luar.
“Sikap taksub dalam politik PAS tidak mendapat tempat di Sabah dan Sarawak kerana rakyat Borneo sudah terkenal dengan semangat perpaduan dan saling hormat-menghormati walaupun berlainan fahaman politik.
“Kelancangan Ahli Parlimen Pasir Mas itu dianggap mencabuli perpaduan politik Sabah dan Sarawak.
“Sedangkan pemimpin kedua-dua wilayah Borneo itu tidak pernah berbuat demikian kepada PAS,” katanya.
































