KANGAR (Bernama): Polis menahan empat lelaki tempatan termasuk seorang penjawat awam, dipercayai merancang “melesapkan” sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire, untuk membuat tuntutan insurans susulan masalah kewangan dihadapi seorang daripada mereka.
Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata suspek berusia antara 32 hingga 45 tahun itu, ditahan di tiga lokasi berasingan di Padang Besar dan Arau kira-kira 5.15 petang Khamis.
Beliau berkata siasatan awal mendapati, penjawat awam berusia 42 tahun yang berkhidmat di Perlis itu menjadi dalang kes berkenaan apabila menghadiri kursus di Kuala Lumpur pada 16 Julai lepas, menaiki kenderaan berwarna hitam terbabit.
“Pada 17 Julai kira-kira 8 pagi, penjawat awam itu membuat laporan polis mendakwa kenderaan berkenaan yang juga milik isterinya telah hilang di Sungai Besi,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Mohd Shokri berkata siasatan lanjut mendapati laporan kehilangan kenderaan itu, merupakan rancangan penjawat awam berkenaan yang berhadapan masalah kewangan, dibantu saudara kandungnya berusia 45 tahun untuk membuat tuntutan insurans.
Beliau berkata kenderaan itu kemudiannya dipercayai dibawa ke sebuah bengkel di Kaki Bukit, Padang Besar untuk dileraikan, manakala komponen yang masih mempunyai nilai pasaran dikumpulkan untuk dijual.
Mohd Shokri berkata dua lagi lelaki masing-masing berusia 32 tahun, turut dipercayai membantu dalam perancangan berkenaan.
“Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor atau mana-mana bahagiannya,” katanya.
Beliau berkata polis memandang serius sebarang cubaan menyalahgunakan laporan polis bagi mendapatkan keuntungan atau kepentingan peribadi, kerana tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menjejaskan proses siasatan, malah membazirkan sumber penguatkuasaan. — BERNAMA
































