Arthur dan Dr. Bonaventure
KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan Ketua Bahagian PBS N.14 Tamparuli, Dr. Bonaventure Boniface menggesa Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said memohon maaf secara terbuka berhubung ucapan beliau yang menyentuh agama Kristian, paderi, biarawati serta kitab Bible (Alkitab) pada Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Arthur berkata, beliau telah meneliti ucapan Noorazli dan menyifatkan bahagian yang menyentuh perkara berkenaan sebagai amat tidak wajar, keterlaluan dan tidak mencerminkan kematangan seorang pemimpin politik.
“Perbezaan politik tidak pernah memberikan lesen kepada sesiapa untuk mempermainkan agama dan kepercayaan penganut lain demi mendapatkan gelak ketawa atau tepukan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Malaysia dibina atas asas masyarakat yang berbilang kaum dan agama dan amat mengecewakan selepas lebih enam dekad negara hidup dalam keadaan sedemikian, masih ada pemimpin yang memilih untuk menjadikan agama sebagai bahan jenaka politik.
“Politik ada batas, kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab dan agama bukan bahan permainan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arthur turut mengingatkan semua pemimpin politik bahawa isu 3R, iaitu kaum, agama dan institusi diraja, bukan perkara yang boleh disentuh sesuka hati.
Katanya, negara mempunyai Perlembagaan dan undang-undang yang perlu dihormati bagi menjaga ketenteraman awam, keharmonian serta hubungan antara masyarakat.
“Barisan Nasional ialah sebuah gabungan yang berdiri atas prinsip perpaduan, kestabilan dan kebersamaan rakyat berbilang kaum serta agama.
“Kita tidak boleh bercakap mengenai perpaduan pada satu ketika, tetapi pada ketika yang lain membiarkan agama orang lain dijadikan bahan jenaka politik. Prinsip ini mesti kita pegang secara konsisten, bukan hanya apabila ia menguntungkan kita,” katanya.
Arthur berkata, perbezaan pandangan politik, kritikan terhadap dasar dan perdebatan secara tegas boleh diterima, namun agama dan kepercayaan orang lain tidak seharusnya dijadikan bahan gurauan.
“Apabila agama dan kepercayaan orang lain dijadikan bahan gurauan, kita telah melangkaui batas kewajaran dan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.
“Alasan bahawa ia sekadar ‘gurauan’ tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menutup kesan dan sensitiviti yang ditimbulkan,” katanya.
Sehubungan itu, Arthur mendesak Noorazli supaya memohon maaf secara terbuka dan tanpa sebarang alasan atau berselindung, khususnya kepada seluruh rakyat Malaysia beragama Kristian yang tersinggung dan terluka dengan ucapan tersebut.
Beliau turut menyeru semua pemimpin politik tanpa mengira ideologi parti supaya lebih bertanggungjawab dalam setiap ucapan, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama, kaum dan institusi diraja.
“Rakyat tidak memerlukan politik yang membakar sentimen, sebaliknya memerlukan kepimpinan yang menyatukan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Dr. Bonaventure berkata, teks agama dan ikrar suci tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka atau ‘punchline’ politik yang tidak wajar.
Beliau berkata, jenaka yang dianggap tidak sensitif melibatkan seorang paderi, seorang biarawati (sister) dan Mazmur 129, yang dilaporkan dibuat oleh Noorazli pada Perhimpunan Agung UMNO, amat mengecewakan dan tidak boleh diterima oleh masyarakat berbilang agama.
“Di Sabah, keharmonian kita dibina atas asas saling menghormati, memahami dan menerima antara satu sama lain.
“Ketika pemimpin negara terus mengingatkan agar isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) tidak disentuh secara tidak bertanggungjawab, prinsip yang sama mesti terpakai kepada semua pihak, di setiap pentas dan tanpa mengira fahaman atau gabungan politik,” katanya.
Dr. Bonaventure berkata, Noorazli wajar menarik balik kenyataan tersebut dengan segera serta mengemukakan permohonan maaf secara terbuka dan tanpa sebarang syarat kepada masyarakat Kristian.
“Politik mungkin membezakan kita dari segi dasar dan prinsip, tetapi politik tidak seharusnya memecah-belahkan kita melalui sikap tidak menghormati kepercayaan dan agama masing-masing.
“Dalam sebuah Malaysia yang berbilang kaum dan agama, sikap saling menghormati bukanlah satu pilihan. Sebaliknya, ia merupakan asas yang menyatukan kita sebagai sebuah masyarakat dan negara,” katanya.






























