KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 44 tahun maut selepas tersepit dalam sebuah Toyota Hilux dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan dan sebuah motosikal di flyover menghala ke Luyang, pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.33 pagi melalui talian balai.
Beliau berkata, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas diketuai PBK II Mohd. Hanafiah Tunjol dikejarkan ke lokasi dan tiba pada 6.41 pagi, kira-kira tujuh kilometer dari balai.
“Komander operasi melaporkan kemalangan jalan raya melibatkan tujuh buah kenderaan dan sebuah motosikal.
“Pasukan Bomba bertindak mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di dalam sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux menggunakan peralatan khas penyelamatan,” katanya.
Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Setelah memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada 7.55 pagi,” katanya.
Operasi turut dibantu tiga anggota PDRM dan tiga anggota KKM.
































