SANDAKAN (Bernama): Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merekodkan 714 aduan berkaitan kandungan dalam talian di daerah ini dari 2025 hingga Ogos 2026.
Anggota Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee berkata daripada jumlah itu 408 aduan melibatkan media sosial.
“Angka ini menunjukkan risiko dalam talian boleh menyentuh sesiapa sahaja tanpa mengira usia, latar belakang atau lokasi, sebab itu apabila kita bercakap tentang pembangunan digital, kita tidak seharusnya hanya melihat kepada capaian Internet atau teknologi yang semakin canggih.
“Kita juga perlu memastikan masyarakat mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk mengenal pasti risiko, membuat pertimbangan yang tepat serta melindungi diri dan keluarga ketika berada dalam talian,” katanya menerusi teks ucapan perasmian Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat (KIS) yang dibacakan Pegawai Pemaju Mukim Elopura Jason Pang di sini hari ini.
Vivian berkata sebab itu, penting KIS diperluaskan sehingga ke peringkat komuniti, misalnya masyarakat di Sandakan agar tidak ada yang tercicir daripada menikmati pembangunan digital secara selamat dan bertanggungjawab.
“Usaha ini turut diperkukuh melalui penglibatan Wira Internet Selamat (WIS) tempatan sebagai sukarelawan dan ikon advokasi dalam komuniti.
“Pendekatan ini penting kerana masyarakat setempat lebih memahami realiti dan cabaran komuniti mereka sendiri, sekali gus membolehkan mesej keselamatan Internet disampaikan dengan cara yang lebih dekat, mudah difahami dan relevan dengan kehidupan seharian,” katanya.
Sementara itu, Komunikasi Korporat MCMC dalam kenyataan memaklumkan lebih 500 penduduk Sandakan diperkasa dengan keselamatan Internet dan kemahiran digital melalui penganjuran Karnival KIS di Taman Harmoni, di sini.
Pada karnival itu, selain berkaitan WIS, penduduk turut didedahkan kepada teknologi menerusi aktiviti robotik secara interaktif dan praktikal bersama “Science Explore Sandakan”. — BERNAMA
































