Zafrul Tengku Abdul Aziz
KUALA LUMPUR (Bernama): Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia mempertimbangkan pemberian insentif khas kepada pemain kebangsaan yang berjaya menamatkan kemarau 20 tahun pingat emas di temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Kali terakhir kem badminton negara mendaki podium tertinggi temasya empat tahun sekali itu menerusi gandingan beregu lelaki legenda, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi 2006 di Doha, Qatar.
Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengakui tempoh dua dekad tanpa kejuaraan merupakan satu penantian yang amat panjang buat peminat sukan tanah air.
“20 tahun? Itu kali terakhir (menang pingat emas), saya sendiri tidak sedar, lamanya,” katanya ketika disoal pemberita mengenai ketiadaan emas Sukan Asia sejak 2006 selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis BAM di sini, hari ini.
Mengulas mengenai ganjaran tambahan daripada badan induk itu selain Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) kerajaan, beliau menjelaskan cadangan berkenaan akan diteliti mengikut kemampuan kewangan badan induk itu bersama rakan penaja.
“Pihak kerajaan pasti akan bagi. Cuma soalannya sama ada BAM (akan bagi), kita akan tengok kemampuan kita pada masa itu tapi buat masa ini belum ada apa-apa perbincangan, tetapi saya rasa ia idea yang baik.
“Kita juga akan bercakap dengan penaja yang ada di BAM, biasanya mereka akan bagi insentif… terutama yang menyumbang pingat emas,” katanya.
Tengku Zafrul memaklumkan beliau akan mengadakan perjumpaan dengan pemain sebelum berangkat ke Sukan Asia Isnin ini dan berharap mereka akan fokus serta melakukan yang terbaik untuk negara.
Sementara itu, mengenai pelantikan jurulatih beregu campuran, beliau berkata pihaknya belum membuat sebarang keputusan muktamad namun memberi bayangan ia akan melibatkan calon tempatan.
Dalam mesyuarat tersebut, persiapan Sukan SEA Malaysia turut menjadi perhatian apabila Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata badan induk itu akan terus memantau perkembangan pemain sebelum memilih barisan terbaik bagi menghadapi temasya berkenaan.
“Kita akan pilih pemain terbaik yang ada pada masa itu. MSN juga sudah menetapkan sasaran untuk menjadi juara keseluruhan,” katanya. — BERNAMA
































