SANDAKAN: Penstrukturan organisasi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kinabatangan kelmarin membuka lembaran baharu dalam landskap politik kawasan Parlimen terbesar di Malaysia itu.
Penyusunan semula Jawatankuasa Penaja Bahagian Kinabatangan turut menguji kepimpinan Naib Presiden parti itu, Datuk Masiung Banah, yang dilantik sebagai Ketua Bahagian untuk menerajui kepimpinan baharu menjelang Pilihan Raya Parlimen Ke-16.
Pembentukan Jawatankuasa Gagasan Rakyat Kinabatangan yang meliputi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Sukau dan Lamag dilihat sebagai langkah strategik dan tunjang utama rakan komponen parti itu di pantai timur Sabah.
Mesyuarat penyusunan semula Ahli-ahli Jawatankuasa bahagian itu yang berlangsung di Hotel Livingstone, Sandakan, malam kelmarin menyaksikan Datuk Juhari Janan dari DUN Sukau dilantik sebagai Timbalan Ketua Bahagian, manakala Datuk Abu Bakar Gapar dari DUN Lamag dilantik sebagai Naib Ketua Bahagian.
Tiga tunggak utama sayap parti yang dilantik ialah Jahiah @ Jaliliah Apiang sebagai Ketua Pergerakan Wanita, Willy Frous Daronsok sebagai Ketua Pemuda dan Farizatul Akma Abdul Rahman sebagai Ketua Beliawanis.
Ikon media sosial, Aksyah Haji Nasrah turut dilantik menganggotai Gagasan Rakyat Kinabatangan sebagai Ketua Penerangan.
Jamlin Kayatah dan Tokyo Abdul Hasim bin Salulid Kandan masing-masing dilantik sebagai Setiausaha dan Bendahari Bahagian.
Naib Ketua Wanita ialah Nurlisah Awang, manakala Badrul Hisham Juhari dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda dan Siti Khalidah Mahalil sebagai Naib Ketua Beliawanis.
Turut menganggotai jawatankuasa bahagian ialah Azman Mastar, Kamrin Satah, Mahalay @ Mahali Jahaya, Johanis Mualas, Emerson Dawang, Matamin Etin, Juslee Arpah, Fazli Kubin, Japilan Gustim, Mokrey Kachurah, Willy Banah, Mahmud @ Abdul Manaf Amit, Joseph Noh, Johari Aklee, Amit Tunguk, Sunardi Suhaime, Damsah Hj. Kalbin, Muhamad Alwi Mahadi, Awang Bantan, Akop Manjah, Rusni Hj. Sungging, Kim Linupas, Sayafi Adnan, Arif Cassidy Saraon, Raz Bantiqle dan Heuly Janadi Ramidin.
Sementara itu, Masiung yang juga ADUN Kuamut mahu semua anggota jawatankuasa penaja melaksanakan tugas yang diamanahkan sebagai tanggungjawab kepada parti dan rakyat di peringkat bahagian.
Penstrukturan semula organisasi Gagasan Rakyat secara besar-besaran di Sabah itu melibatkan pindaan perlembagaan parti.
Langkah strategik berkenaan dilaksanakan bagi mengukuhkan jentera parti sebagai tunjang Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
Gagasan Rakyat menukar asas struktur bahagiannya daripada kawasan DUN kepada kawasan Parlimen.
Struktur parti itu kini dirombak menjadi 26 bahagian baharu merangkumi Sabah dan Labuan berbanding 74 bahagian sebelum ini.
Langkah itu diambil bagi menyatukan bahagian-bahagian kecil supaya fungsinya lebih besar dan tersusun.






























