PUTRAJAYA (Bernama): Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang berakhir semalam mencatat kejayaan membanggakan dengan kehadiran lebih 5 juta pengunjung serta pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) lebih RM10.35 bilion.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang 10 hari penganjurannya, MAHA 2026 mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia selain merekodkan pencapaian memberangsangkan dari segi jumlah kehadiran pengunjung dan nilai ekonomi.
MAHA 2026 berjaya menarik lebih 5 juta pengunjung melepasi sasaran empat juta pengunjung, manakala lebih 1 juta kenderaan direkodkan sepanjang tempoh penganjuran selain berjaya memeterai 97 MoU melibatkan nilai keseluruhan lebih RM10.35 bilion, melebihi sasaran RM8 bilion.
“Nilai jualan keseluruhan pula mencapai lebih RM73 juta yang melepasi sasaran RM58 juta.
“Peningkatan kehadiran daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk kaum Cina dan India, memperlihatkan MAHA semakin diterima sebagai sebuah platform nasional yang merentasi kaum dan latar belakang,” menurut kenyataan itu.
KPKM memaklumkan sambutan ini mencerminkan keterangkuman MAHA sebagai ruang untuk rakyat bersama-sama mengenali, menikmati dan menyokong perkembangan sektor pertanian, agromakanan dan agropelancongan negara.
“Lebih membanggakan, kehadiran lebih 2 juta belia, bersamaan dengan 40 peratus daripada keseluruhan pengunjung, turut hadir memeriahkan MAHA 2026, sekali gus mencerminkan peningkatan minat golongan muda terhadap sektor pertanian dan agromakanan,” menurut kenyataan itu.
Kejayaan MAHA 2026 merupakan hasil komitmen serta kerjasama erat semua kementerian, jabatan dan agensi, kerajaan negeri, pempamer, rakan strategik, media, petugas serta seluruh pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran edisi kali ini.
“MAHA 2026 sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai platform berprestij yang bukan sahaja mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat, malah berjaya menjana nilai ekonomi yang signifikan.
“Pameran ini turut memperkukuh agenda pembangunan sektor pertanian, agromakanan dan keterjaminan makanan negara, selaras dengan agenda dan harapan Kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat,” menurut KPKM.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji kejayaan penganjuran MAHA 2026 yang mencatat pencapaian luar biasa dan rekod kehadiran tertinggi dalam sejarah, sekali gus membuktikan minat serta tumpuan mendalam rakyat terhadap sektor pertanian negara. — BERNAMA
































