Masidi bersama barisan utama, sayap dan ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat Bahagian Ranau dalam mesyuarat bahagian tersebut.
RANAU: Susulan proses penstrukturan semula parti, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Ranau kini tampil dengan barisan kepimpinan baharu yang menggabungkan pengalaman dan kepimpinan lebih proaktif bagi memperkukuh organisasi di Parlimen Ranau, yang meliputi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Karanaan, Kundasang dan Paginatan.
Barisan baharu itu diketuai oleh Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Masidi Manjun selaku Ketua Bahagian (Penaja), manakala Datuk Amisah Yassin dilantik sebagai Timbalan Ketua, Johari Suhaimin sebagai Naib Ketua, dan Samsul Amar Jaimin sebagai Setiausaha Bahagian.
Bagi sayap parti, Mohd. Sharin Mujin menerajui Pergerakan Pemuda, Jalisa Nasiri sebagai Ketua Pergerakan Wanita, manakala Norhajiah Ropotoh mengetuai Pergerakan Beliawanis.
Penyusunan ini merupakan usaha untuk memperkemas struktur organisasi parti di peringkat bahagian, di samping memperluas penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam pelaksanaan program dan aktiviti di kawasan berkenaan.
Gabungan pengalaman dan semangat kepimpinan yang tinggi itu turut memberi ruang kepada parti untuk memperkukuh pendekatan dalam mendekati masyarakat, memahami keperluan setempat, serta menyelaraskan aspirasi penduduk di ketiga-tiga DUN.
Penglibatan golongan muda dan wanita dalam barisan kepimpinan turut dilihat mampu membawa perspektif baharu serta memastikan kesinambungan organisasi parti di Ranau.
Barisan kepimpinan baharu ini diharap dapat membawa pendekatan yang lebih dinamik dan tersusun, di samping menyokong agenda pembangunan serta kepentingan masyarakat Ranau secara menyeluruh.
































