Burhan bersama Zalina, ahli Lembaga Pengarah dan rombongan SAFMA meninjau operasi pendaratan serta pengendalian hasil perikanan di Kompleks LKIM Kuantan.
KUANTAN: Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan baru-baru ini bagi meninjau secara dekat operasi jeti pendaratan serta aktiviti pengendalian hasil perikanan di kompleks tersebut.
Lawatan yang diketuai oleh Pengurus Besar SAFMA, Burhan Haji Japar bersama ahli Lembaga Pengarah dan pegawai SAFMA itu disambut oleh Pengurus Besar Persatuan Nelayan Negeri Pahang (PERNEPA), Zalina Mohamed.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha SAFMA untuk memperkukuh hubungan kerjasama, di samping bertukar pandangan dan pengalaman berkaitan pengurusan industri perikanan, terutamanya dalam aspek pendaratan, pengendalian, dan pemasaran hasil laut.
Rombongan berkesempatan meninjau sendiri aktiviti pendaratan hasil tangkapan nelayan serta proses pengendalian ikan di jeti berkenaan.
Burhan berkata, lawatan seumpama itu amat penting bagi memberi pendedahan kepada SAFMA mengenai pendekatan dan kaedah pengurusan operasi yang dilaksanakan di LKIM Kuantan.
“Perkongsian pengalaman seperti ini amat bernilai kerana setiap kawasan mempunyai pendekatan dan cabaran tersendiri dalam menguruskan industri perikanan.
“Melalui lawatan ini, kita dapat melihat sendiri operasi di lapangan, bertukar pandangan, serta mengenal pasti ruang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada industri dan komuniti nelayan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Zalina Mohamed dan pihak PERNEPA atas sambutan serta perkongsian maklumat sepanjang lawatan tersebut.
Menurutnya, jaringan kerjasama antara SAFMA, persatuan nelayan, dan agensi berkaitan perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan sektor perikanan dapat berkembang secara mampan serta memberi manfaat kepada nelayan dan pengguna.
































