SERDANG: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun(Dr.) Haji Musa Aman hari ini mengadakan kunjungan ke Pavilion Sabah di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Kunjungan Tun Musa ke pameran yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini mencerminkan sokongan dan perhatian baginda terhadap usaha memperkenalkan serta mempromosikan produk pertanian dan perikanan Sabah di peringkat nasional.
Turut hadir bersama TYT dalam lawatan tersebut ialah Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar serta Pengurus Besar Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA), Burhan Haji Japar.
Kehadiran mereka turut disertai oleh ahli lembaga pengarah SAFMA dan para peserta Pavilion Sabah.
Sepanjang lawatan, rombongan berkesempatan meninjau pelbagai produk yang dipamerkan, termasuk inisiatif utama SAFMA iaitu Program Ikan Rakyat Sabah. Program ini merupakan usaha memperkukuh keterjaminan makanan negeri dengan menyediakan bekalan ikan segar, berkualiti pada harga berpatutan di samping meningkatkan pendapatan nelayan tempatan.
Penyertaan SAFMA di MAHA 2026 bukan sekadar ruang pameran, tetapi platform untuk memperkenalkan potensi hasil laut Sabah kepada masyarakat, pemain industri dan pelabur. Ikan Rakyat Sabah yang diketengahkan merupakan produk hasil laut sejuk beku yang berpotensi dikembangkan ke pasaran lebih luas termasuk Semenanjung Malaysia.
Kunjungan TYT Musa Aman ke MAHA 2026 turut disertai oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia, Datuk Mohamad Sabu dan Timbalannya Datuk Chan Foong Hin, dalam lawatan selama lebih tiga jam ke pelbagai lokasi pameran.






























