MOSCOW (Bernama-Sputnik/RIA Novosti): Lebih 16,000 orang meninggal dunia akibat gelombang haba di Jerman tahun ini iaitu jumlah tertinggi sekurang-kurangnya sejak 2016, menurut Institut Robert Koch (RKI), lapor Sputnik/RIA Novosti.
Setakat 3 Sept, anggaran jumlah kematian berkaitan haba di Jerman mencecah 16,300 orang.
Kebanyakan kematian, iaitu kira-kira 8,200 kes, melibatkan golongan berusia 85 tahun ke atas.
Sementara itu, Menteri Peralihan Ekologi Perancis Monique Barbut berkata negara itu mengalami gelombang haba paling ekstrem sejak rekod dicatatkan bermula 1900.
“Kami telah mengalami musim panas paling terik sejak rekod mula dicatatkan pada 1900,” kata Barbut dalam sidang akhbar pada Khamis.
Menteri itu berkata kebakaran hutan dan kemarau yang berpunca daripada haba melampau adalah sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Beliau menambah setakat akhir Ogos, keluasan kawasan yang terbakar adalah enam kali ganda lebih besar berbanding purata bagi tempoh 20 tahun lepas.
Tahap kekeringan tanah mencecah paras tertinggi manakala paras air di kebanyakan takungan merosot ke tahap terendah dalam tempoh 20 tahun, kata Barbut.
Eropah sedang mengalami antara tempoh paling panas sejak kebelakangan ini, dengan Sepanyol, Portugal, Perancis, Itali dan Greece paling teruk terjejas.
Pihak berkuasa Perancis menyatakan kerugian ekonomi akibat gelombang haba itu boleh mencecah sehingga €15 bilion (US$17.4 bilion). — BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI





























