LABUAN (Bernama): Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) memperketat syarat pengawalseliaan bagi aktiviti pembrokeran wang digital di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) untuk memperkukuh integriti pasaran serta ketahanan operasi.
Ketua Pengarahnya Affendi Rashdi berkata rangka kerja yang ditambah baik ini memberi penekanan yang lebih baik terhadap tadbir urus, pematuhan, teknologi dan kawalan operasi terutamanya dalam menangani risiko yang berkaitan dengan aktiviti kewangan digital.
Beliau menyatakan langkah berkenaan bertujuan memastikan inovasi di dalam Labuan IBFC berkembang seiring dengan langkah perlindungan pengawalseliaan yang sewajarnya.
“Pendigitalan sedang mengubah cara perkhidmatan kewangan disampaikan dan pengawalseliaan mesti sentiasa seiring dengannya.
“Matlamat kami untuk membolehkan inovasi di dalam Labuan IBFC namun dengan langkah perlindungan yang sewajarnya, ia dapat memastikan pasaran kekal berdaya tahan dan dipercayai,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.
Labuan FSA buat julung kalinya memperkenalkan rangka kerja pengawalseliaan bagi perdagangan mata wang digital pada 2024 diikuti dengan pengawasan yang lebih ketat terhadap platform broker wang digital pada 2025.
Penambahbaikan terkini ini membentuk sebahagian daripada pembaharuan pengawalseliaan pihak berkuasa yang lebih luas merangkumi tadbir urus digital, penyeliaan pasaran dan keperluan pengesahan identiti pengguna secara digital (e-KYC).
Menurut Affendi, piawaian pengawalseliaan yang lebih jelas akan memberi jaminan yang lebih kukuh kepada pemain industri selain memastikan inovasi tidak menjejaskan integriti pasaran kewangan.
“Mesej kepada industri adalah mudah: berinovasi, tetapi berinovasi secara bertanggungjawab,” katanya.
Beliau memberitahu Labuan FSA akan terus memperkukuh langkah berhemat selain menyokong inovasi digital yang bertanggungjawab sebagai sebahagian daripada usaha untuk menempatkan Labuan IBFC sebagai pusat kewangan antarabangsa yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan. — BERNAMA




























