PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan manakala 31 paket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi seberat 1,060.39 gram bernilai kira-kira RM20,150 dirampas dalam satu operasi di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang kira-kira jam 12.30 tengah malam di sebuah premis hiburan.
Menurutnya, saringan awal air kencing mendapati suspek positif amphetamine, methamphetamine dan THC.
“Hasil siasatan lanjut susulan tangkapan tersebut, polis menemukan sebuah beg di lokasi berasingan yang mengandungi 31 paket plastik berisi serbuk disyaki dadah berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Katanya, suspek kini direman bagi membantu siasatan.
Sammy menegaskan komitmen IPD Penampang untuk terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.






























