Nurul (empat dari kanan) menyampaikan zakat wakalah kepada Mohd Ishak.
KOTA BELUD: Program kemasyarakatan anjuran agensi kerajaan wajar diteruskan sepanjang tahun dan tidak hanya tertumpu kepada sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah.
Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Fairuz Renddan berkata, penganjuran program seumpama itu penting bagi mengeratkan hubungan antara kerajaan dengan komuniti, selain memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat setempat.
“Diharapkan Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah dan agensi kerajaan dapat terus menganjurkan program seperti ini pada hari-hari lain yang bersesuaian dan bukan hanya pada waktu tertentu.
“Program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi dan mengeratkan hubungan antara komuniti dengan pihak kerajaan,
” katanya ketika berucap dalam majlis Doa Selamat sempena sambutan Maulidur Rasul dan Sambutan Bulan Kebangsaan di Masjid Jamek Kg Penampang, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, usaha mendekati masyarakat secara berterusan dapat memastikan hubungan antara kerajaan dan rakyat terus diperkukuh.
Fairuz turut berharap kemudahan di Masjid Jamek di Kg itu dapat terus ditambah baik, termasuk melalui pembesaran ruang dan penyediaan kawasan parkir yang lebih selesa demi memenuhi keperluan serta keselesaan masyarakat setempat.
Terdahulu, bacaan doa selamat sempena sambutan maulidur rasul dan penyerahan Zakat Wakalah kepada Masjid Jamek Kg Penampang disampaikan oleh Pengurus Pemasaran dan Hubungan Awam TM Sabah, Nurul Izza Ripin yang juga wakil kepada BAKIT TM Sabah.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor, Penolong Pegawai Daerah, Abd Wahab Sidek serta Pengerusi Masjid Jamek Kg Penampang, Mohd Ishak Abd Rahman.
































