Masidi (tiga dari kanan) melakukan gimik perasmian pembukaan cawangan Borenos.
KOTA KINABALU: Jenama makanan segera kelahiran Sabah, Borenos Fried Chicken mencapai satu lagi pencapaian penting apabila merasmikan pembukaan cawangan di Imago Shopping Mall di sini, hari ini, sekali gus menjadikan jumlah cawangannya 10 di seluruh negara.
Pembukaan itu berlangsung tidak lama selepas Borenos membuka cawangan di Bangi, Selangor pada 11 Ogos lalu, mencerminkan perkembangan berterusan jenama tempatan itu di seluruh Malaysia.
Kini, Borenos mengendalikan tujuh cawangan di Sabah dan tiga di Malaysia Barat.
Majlis pembukaan cawangan Imago itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun yang telah menyokong Borenos sejak peringkat awal penubuhannya.
Kehadiran beliau pada pembukaan cawangan ke-10 itu memberi makna tersendiri kepada pencapaian Borenos dalam mengembangkan jenama kelahiran Sabah ke seluruh Malaysia.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan tradisional di hadapan premis, mengetengahkan elemen identiti Sabah dalam sambutan berkenaan.
Dalam ucapan alu-aluan, Ketua Pegawai Eksekutif Borenos, Janice Yeo merakamkan penghargaan kepada pasukan, rakan kongsi dan pelanggan yang terus menyokong perjalanan jenama itu, selain menegaskan komitmen Borenos untuk membawa akar Sabahan bersamanya dalam setiap fasa pengembangan.
“Hari ini, cawangan nombor 10 bukanlah garisan penamat. Ia adalah satu lagi permulaan.
“Ketika kami berkembang melangkaui Sabah, kami membawa sesuatu yang sangat penting bersama kami – kemesraan, layanan mesra dan semangat Sabah,” katanya.
Menurut Janice, pembukaan cawangan di Imago amat bermakna kerana pusat beli-belah berkenaan menerima kunjungan rakyat Sabah serta pelawat dari seluruh Malaysia dan serata dunia.
Katanya, keadaan itu memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk mengenali dan menikmati jenama tempatan yang berasal dari Sabah.
Pertumbuhan Borenos turut mendapat pengiktirafan dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Jenama makanan Malaysia yang diperakui Halal itu menerima The BrandLaureate World Halal BestBrands Awards 2026 – Signature Brand, selain diiktiraf menerusi GrabFood 5-Star Awards selama tiga tahun berturut-turut.
Pengiktirafan GrabFood itu termasuk Best Western Food pada 2023 serta Crowd’s Favourite Western Food pada 2024 dan 2025.
Dengan 10 cawangan kini beroperasi di Sabah dan Malaysia Barat, pembukaan Borenos Imago menjadi satu lagi langkah dalam perjalanan jenama berkenaan untuk berkembang dari Sabah ke seluruh Malaysia dan, suatu hari nanti, ke peringkat antarabangsa.
































