KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama): Enam kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 9 pagi ini.
Mengikut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Serian merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 187, diikuti Kuching (182), Sri Aman (174), Samarahan (165), Sarikei (153), dan Sibu (123).
Sementara itu, sebanyak 50 kawasan lain di seluruh negara berada pada tahap sederhana (51 hingga 100), manakala 12 kawasan lagi masih mempunyai kualiti udara yang baik (bawah 50).
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat), manakala IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara. — BERNAMA


































