KUALA KANGSAR: Polis mengesahkan mayat yang ditemukan di dalam beg pakaian di Sungai Perak berhampiran jeti Lembah Kuala Kangsar petang semalam merupakan seorang wanita.
Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa berusia lingkungan 30-an, namun identitinya masih belum dikenal pasti.
Bernama melaporkan, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Polis Heisham Harun berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki tempatan kira-kira 3.12 petang yang memaklumkan penemuan mayat di dalam Sungai Perak berhampiran jeti berkenaan.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum mayat dihantar ke Hospital Taiping untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.
Heisham turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menimbulkan provokasi berkaitan kejadian itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar menerusi talian 05-776 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
































