Tun Musa (kiri) bergambar bersama Ajay Sharma (kanan).
KOTA KINABALU : United Kingdom (UK) mengenal pasti lebih banyak potensi kerjasama baharu dengan Sabah yang boleh memberi manfaat kepada kedua belah pihak.
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ajay Sharma berkata, antara bidang yang dikenal pasti termasuk pendidikan, latihan vokasional, tenaga hijau, agenda iklim hutan, penjagaan kesihatan dan sebagainya.
Menurutnya, kerjasama berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuhkan hubungan antara UK dengan Sabah khususnya dalam bidang yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Jumaat.
Beliau memaklumkan, kunjungan itu merupakan susulan daripada pertemuan beliau dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah pada minggu lepas.
Ajay berharap kunjungan tersebut dapat menerangkan dengan lebih jelas mengenai peluang kolaborasi antara UK dan Sabah selain mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil bagi merealisasikan kerjasama berkenaan.
Hadir sama, Konsul Kehormat British di Sabah, David Powell.
































