Armizan Mohd. Ali
KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bukan merupakan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tegas Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali.
Beliau berkata, kedudukan KDM dalam Kerajaan Negeri adalah susulan keputusan seorang satunya ADUN KDM memberikan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada November lalu.
Menurutnya, sokongan tersebut membolehkan Kerajaan Negeri meneruskan pentadbiran dan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat, namun ia tidak boleh ditafsirkan sebagai KDM telah menjadi sebahagian daripada GRS.
“Parti KDM bukan parti komponen GRS. Pasca PRN Sabah, KDM melalui ADUN tunggalnya memberikan sokongan kepada Ketua Menteri sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Keputusan tersebut menjadikan KDM sebahagian daripada Kerajaan Sabah, tetapi bukan sebahagian daripada komponen GRS,” katanya dalam satu kenyataan.
Armizan berkata demikian susulan pertemuan dan perbincangannya dengan ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman yang merupakan satu-satunya ADUN KDM.
Katanya, Rusdin menjelaskan komitmen beliau adalah untuk terus memberikan khidmat kepada masyarakat di kawasan yang diwakilinya selain memastikan kestabilan Kerajaan Negeri bagi membolehkan agenda pembangunan diteruskan.
“Bagi saya, yang lebih penting ialah komitmen untuk berkhidmat kepada rakyat serta memastikan kestabilan Kerajaan Negeri.
“Rakyat mahu melihat Kerajaan terus bekerja, pembangunan diteruskan dan segala agenda yang dirancang dapat dilaksanakan,” katanya.
Armizan turut memaklumkan bahawa Rusdin bersama ADUN-ADUN Kerajaan hadir dalam satu acara di Kota Kinabalu pagi tadi.
Beliau berkata, perbezaan parti politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha semua wakil rakyat untuk mengutamakan kepentingan rakyat dan pembangunan Sabah.
Dalam perkembangan berkaitan, GRS sebelum ini menegaskan kepentingan kestabilan politik negeri bagi memastikan mandat rakyat diterjemahkan melalui pelaksanaan agenda pembangunan secara berterusan.
































