Mandela (tengah) bersama Pesuruhjaya Tinggi British, Ajay Sharma CMG (kelima kanan), Pesuruhjaya Tinggi Australia, Danielle Heinecke (kelima kiri), Pesuruhjaya Tinggi New Zealand, Michael Wehi Mailetonga Walsh (keempat kiri) dan tetamu jemputan di Taman Peringatan Sandakan selepas upacara.
SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, keamanan mesti dipelihara melalui tindakan dengan mempertahankan maruah manusia, menyelesaikan pertikaian tanpa keganasan dan tidak mengabaikan penderitaan orang lain.
“Kita mesti menolak kebencian, penyahinsanan dan sikap tidak peduli yang memungkinkan penderitaan seperti itu berlaku. Sejarah ini tidak boleh digunakan untuk mewariskan kebencian kepada generasi seterusnya. Sebaliknya, sejarah ini mesti mengajar setiap generasi tentang akibat yang boleh dicetuskan oleh kebencian.
“Kemenangan itu sendiri tidak pernah mencukupi jika kita melupakan harga yang terpaksa dibayar oleh manusia,” katanya ketika berucap pada Upacara Peringatan Hari Sandakan yang diadakan di Taman Peringatan Sandakan di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Hajiji berkata, antara 1942 dan 1945, ketika kemuncak Perang Dunia Kedua, kira-kira 2,700 tahanan Australia dan British melalui Sandakan dalam Perarakan Maut yang terkenal menuju ke Ranau.
Menjelang Januari 1945, seramai 2,434 tahanan masih tinggal, terdiri daripada 1,793 rakyat Australia dan 641 anggota tentera British. Daripada jumlah itu, 2,428 telah meninggal dunia, dengan hanya enam rakyat Australia terselamat dan kesemuanya terselamat selepas melarikan diri.
“Hari ini, kita turut mengenang enam mangsa yang terselamat: Bill Sticpewich, Dick Braithwaite, Owen Campbell, Keith Botterill, Nelson Short dan Bill Moxham,” katanya.
Beliau berkata, kelangsungan hidup mereka adalah sesuatu yang luar biasa, namun mereka tidak terselamat sendirian, khususnya Owen Campbell yang dibantu oleh dua penduduk tempatan yang dikenali sebagai Lap dan Galunting di Kampung Muanud.
Beliau berkata, terdapat juga nama lain yang wajar dikenang seperti Bariga, Dihil Ambilid, Abing, Kulang dan ramai lagi yang keberanian mereka mungkin tidak pernah direkodkan sepenuhnya.
“Terdapat juga usaha terancang oleh penduduk tempatan, termasuk Johnny dan Lillian Funk serta anggota gerakan bawah tanah Sandakan, yang mengumpul maklumat dan membantu para tahanan walaupun berdepan risiko yang amat besar. Sebahagian anggota gerakan bawah tanah itu telah dihukum bunuh.
“Mereka bertindak tanpa perlindungan dan dengan mempertaruhkan keselamatan diri. Apabila mereka melihat penderitaan, mereka memilih untuk membantu. Keberanian mereka adalah sebahagian daripada sejarah Sandakan dan Sabah, dan ia mesti dikenang.
“Kadangkala keberanian itu hadir dalam bentuk sedikit makanan yang dikongsi secara rahsia. Kadangkala ia adalah tempat untuk bersembunyi. Kadangkala ia adalah sebuah sampan yang berpatah arah menuju kepada seorang lelaki yang meminta pertolongan,” katanya.
Hajiji berkata, tahun ini menandakan ulang tahun ke-81 berakhirnya Perang Dunia Kedua.
“Tanggungjawab kita berterusan selepas upacara ini. Kita mesti memelihara rekod sejarah, mengajar generasi muda tentang apa yang berlaku di sini dan terus menyebut nama para tahanan serta penduduk tempatan yang membantu mereka,” katanya.




























