Awang Kadin bersama kira-kira 900 pemimpin masyarakat dari Parlimen Keningau, Tenom dan Pensiangan yang menghadiri Seminar Kenegaraan Malaysia Peringkat Komuniti di Keningau.
KENINGAU: Pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan dan rakyat bagi memastikan setiap dasar, bantuan serta agenda pembangunan dapat disampaikan dengan tepat dan berkesan, kata Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Awang Kadin Tang.
Beliau berkata, kira-kira 900 pemimpin masyarakat dari kawasan Parlimen Keningau, Tenom dan Pensiangan menyertai Seminar Kenegaraan Malaysia Peringkat Komuniti yang bertujuan memperkukuh kefahaman, integriti serta peranan kepimpinan di peringkat akar umbi.
Katanya, penyertaan itu membabitkan kawasan Bingkor, Liawan dan Tambunan di bawah Parlimen Keningau; Melalap dan Kemabong di Parlimen Tenom; serta Nabawan, Sook dan Tulid di Parlimen Pensiangan.
“Pemimpin masyarakat bukan sekadar memegang jawatan, sebaliknya memikul amanah besar untuk memahami denyut nadi rakyat serta membantu menyelesaikan permasalahan mereka melalui saluran yang betul.
“Saudara dan saudari menjadi saluran yang membawa suara rakyat kepada kerajaan dan pada masa sama menyampaikan dasar, polisi, bantuan serta agenda pembangunan kerajaan kepada rakyat secara tepat, jelas dan berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Seminar Kenegaraan Malaysia Peringkat Komuniti hasil kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) dan UPPM bagi kawasan Keningau di Dewan Masyarakat Keningau, hari ini.
Awang Kadin berkata, seminar berkenaan bukan sekadar platform perkongsian ilmu, malah menjadi inisiatif strategik untuk memperkukuh kefahaman pemimpin masyarakat mengenai kenegaraan, integriti, tadbir urus baik dan tanggungjawab kepimpinan di peringkat akar umbi.
Katanya, penglibatan pemimpin masyarakat dari pelbagai kawasan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan nilai kenegaraan, integriti dan tanggungjawab kepimpinan dapat difahami serta diterapkan hingga ke peringkat komuniti.
“Keningau menjadi daerah terakhir melengkapkan siri seminar ini, sekali gus menandakan berakhirnya satu jelajah yang amat bermakna dalam usaha memperkasakan kepimpinan akar umbi negeri ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pemimpin masyarakat supaya tidak melihat pelantikan sebagai satu bentuk penghormatan atau peluang mengejar kepentingan peribadi.
Sebaliknya, katanya, jawatan berkenaan adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh kejujuran, integriti, keikhlasan dan tanggungjawab.
“Kerajaan memerlukan pemimpin masyarakat yang bekerja, bukannya sekadar memegang jawatan. Kita perlu sentiasa turun padang, mendengar denyut nadi rakyat, mengenal pasti permasalahan dan membantu mencari jalan penyelesaian melalui saluran yang betul,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pemimpin masyarakat supaya menjadi sumber maklumat yang dipercayai dan tidak membiarkan rakyat hanya bergantung kepada media sosial atau sumber tidak sahih.
“Pemimpin masyarakat perlu menyampaikan fakta yang benar, menjelaskan dasar Kerajaan secara berhemah serta menangkis fitnah dan maklumat palsu yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya.
Awang Kadin turut menegaskan bahawa integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan, keputusan dan pelaksanaan amanah.
“Jangan sesekali mengambil kesempatan atas jawatan yang diberikan. Elakkan penyalahgunaan kuasa, pilih kasih atau kepentingan peribadi ketika membantu rakyat.
“Kepercayaan rakyat adalah aset paling berharga. Sekali kepercayaan itu hilang, amat sukar untuk dikembalikan,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin masyarakat yang amanah, telus dan berintegriti mampu memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan rakyat, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai masyarakat.
Beliau turut menyeru semua pemimpin masyarakat supaya memperkukuh semangat kerja berpasukan dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
“Kejayaan Kerajaan bukan hanya bergantung kepada dasar yang dirangka, tetapi turut bergantung kepada keberkesanan kita sebagai jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat,” katanya.
Pada majlis itu, Awang Kadin turut merakamkan penghargaan kepada AKM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah serta semua pihak yang menjayakan Seminar Kenegaraan Malaysia Peringkat Komuniti.
Beliau berharap kerjasama strategik itu dapat diteruskan bagi melahirkan pemimpin masyarakat yang berilmu, berintegriti, berwibawa dan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
Turut hadir Pegawai Daerah Keningau, Norsih Nusuri; Ketua Cawangan Sosiobudaya dan Politik, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Penolong Kanan Pesuruhjaya Aini Awang Muda; Ketua Cawangan SPRM Daerah Keningau, Penguasa Kanan (PSK) Christopher Noel Nilus Kalitu; Pengarah Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Sabah, Datin Shonitah Terang; Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Sabah Maju Jaya, Datuk Ramlee Kariah; serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS), Haji Nordin Lossin, dan pemimpin masyarakat daripada tiga kawasan Parlimen.




























