Mustapha Sakmud
KOTA KINABALU: Semua kementerian dan agensi berkaitan diarahkan memberi keutamaan kepada penyelesaian baki isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi mempercepat pelaksanaannya menjelang Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dijadual dipengerusikan Perdana Menteri pada September ini.
Arahan itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah MTPMA63 Bilangan 2 Tahun 2026 yang berlangsung hari ini, bagi meneliti status terkini pelaksanaan serta kemajuan penyelesaian pelbagai perkara di bawah MA63 sebagai persediaan menghadapi mesyuarat berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud mempengerusikan mesyuarat itu bagi pihak Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 selepas diberi mandat berbuat demikian kerana Timbalan Perdana Menteri sedang menerima rawatan kesihatan.
Selain meneliti perkembangan pelaksanaan perkara yang telah dipersetujui di bawah MA63, mesyuarat turut membincangkan beberapa agenda strategik yang sedang diperkemas menerusi platform MTPMA63.
Antara agenda yang diberi perhatian ialah inisiatif “Borneonisasi” perkhidmatan awam, usaha merapatkan jurang perkhidmatan kesihatan serta pemerkasaan sektor pendidikan di Sabah dan Sarawak.
Menurut kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), pendekatan rundingan berterusan menerusi jawatankuasa kerja dan Jawatankuasa Teknikal telah membuktikan bahawa banyak kemajuan dapat dicapai secara konsensus, berasaskan kepercayaan serta saling menghormati kepentingan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Katanya, semua kementerian dan agensi berkaitan turut diarahkan supaya memberikan keutamaan terhadap penyelesaian baki isu MA63 bagi memastikan pelaksanaannya dapat dipercepatkan.
Antara perkembangan penting yang direkodkan ialah peningkatan Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM1.5 bilion bagi tahun 2026, selain kejayaan penyerahan status Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Negeri Sarawak pada 21 Julai lalu.
Kenyataan itu berkata, kedua-dua pencapaian tersebut membuktikan pelaksanaan MA63 di bawah Kerajaan Madani bukan sahaja memenuhi komitmen terdahulu, malah terus berkembang secara dinamik mengikut keperluan semasa serta aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak.
































