Hajiji (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan YKS kepada 102 KIR mangsa banjir di Tawau melalui Mohd. Shoffian semasa lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Cinta Mata, Tawau.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan bantuan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) berjumlah RM30,600, membabitkan sumbangan RM300 kepada setiap 102 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di daerah Tawau, baru-baru ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Menteri melalui Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Mohd. Shoffian Mohd. Said bagi membantu meringankan beban keluarga yang terkesan akibat bencana berkenaan.
Ketua Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas pengurusan bencana yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir sepanjang kejadian itu, termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau serta semua agensi dan ahli jawatankuasa yang terlibat.
Beliau berkata, komitmen dan kerjasama semua pihak dalam operasi menyelamat, pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta penyampaian bantuan telah memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara sepanjang bencana berkenaan.
Banjir yang melanda Tawau baru-baru ini menjejaskan 102 Ketua Isi Rumah (KIR), membabitkan 362 mangsa yang terdiri daripada 217 orang dewasa, 109 kanak-kanak, 28 warga emas dan lapan bayi. Kesemua mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau sebelum dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas keadaan kembali pulih.
































